JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Trend pengambilan pelajar ke politeknik dan kolej komuniti menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak tiga tahun kebelakangan ini, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap laluan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) di negara ini.
Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Azirin Abdul Aziz berkata pihaknya baharu sahaja menyelesaikan pengambilan pelajar bagi Sesi 2 pada awal Januari lepas, manakala pengambilan bagi Sesi Perdana atau Sesi 1 dijadualkan bermula sekitar hujung Jun ini, sebaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.
“Tawaran kemasukan akan dibuat selepas keputusan SPM dikeluarkan dan sambutan untuk tiga tahun kebelakangan ini yang diterima setakat ini adalah sangat menggalakkan.
“Kebanyakan program yang ditawarkan tertumpu kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi serta kejuruteraan, melibatkan pelbagai jabatan dan disiplin pengajian.
“Walaupun secara keseluruhan permohonan adalah seimbang, kita dapat melihat minat yang lebih tinggi terhadap program berasaskan perkhidmatan seperti kulinari dan hospitaliti, selain program di bawah Jabatan Perdagangan seperti perakaunan, perdagangan dan logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak serta Timbalan Pengarah Akademik PIS yang menjalankan tugas Pengarah PIS Tengku Nadzion Tengku Ibrahim.
Selain diploma, katanya pelajar turut diberikan pendedahan kepada pelbagai program nilai tambah seperti pensijilan profesional dan latihan kemahiran khusus bagi melengkapkan kepakaran mereka mengikut keperluan industri.
Mengulas kebolehpasaran graduan, beliau berkata setakat ini graduan politeknik dan kolej komuniti tidak berdepan masalah besar untuk mendapatkan pekerjaan, namun fokus kementerian pada masa ini adalah memastikan mereka memperoleh gaji premium yang setimpal dengan kelayakan dan kemahiran dimiliki.
Mengenai Majlis Penutup Program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik, Azirin menyifatkan program berkenaan amat bermanfaat dalam membantu pelajar institusi politeknik dan kolej komuniti memahami etika penggunaan media sosial, khususnya dalam perkongsian dan penyebaran maklumat.
Beliau berkata program berkenaan memberi pendedahan penting kepada pelajar yang merupakan golongan belia aktif menggunakan media sosial bagi tujuan promosi dan perkongsian kandungan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Azirin menegaskan meskipun golongan muda pada masa ini teruja dengan perkembangan media yang sangat pantas, mereka masih memerlukan bimbingan agar dapat memanfaatkan teknologi secara berhemah dan bertanggungjawab.
Azirin dalam itu turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas sumbangan set televisyen pintar yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan di institusi terlibat, selain mengucapkan terima kasih kepada Bernama atas komitmen menjayakan program berkenaan.
“Program 2025 ini, walaupun dilaksanakan melangkaui tahun 2026, tetap relevan dalam memenuhi misi dan matlamat memperkasakan peranan media serta masyarakat yang saling melengkapi dan ‘berpisah tiada’,” katanya.
-- BERNAMA