KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa orang ramai supaya tidak menyokong premis perniagaan yang membenarkan pekerja merokok sebagai satu bentuk tekanan sosial positif ke arah merealisasikan Malaysia bebas asap rokok.
Setiausaha Agungnya Muhammad Sha’ani Abdullah turut menyarankan agar pemandu e-hailing, teksi serta penghantar makanan yang merokok dilaporkan menerusi sistem penarafan platform masing-masing bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat dan profesional kepada pengguna.
Beliau juga mengingatkan kepentingan pelaksanaan Pekeliling Perbendaharaan 4.1 yang menetapkan tanggungjawab pengawal keselamatan untuk menasihati serta menguatkuasakan larangan merokok secara berkesan di semua kawasan larangan.
“Larangan merokok adalah langkah kesihatan awam yang berasaskan sains, undang-undang serta tanggungjawab sosial bersama. Pematuhan semua pihak adalah kunci ke arah persekitaran yang lebih selamat, sihat dan bebas asap rokok untuk generasi kini dan akan datang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, MCTC memaklumkan kajian perubatan terkini menunjukkan tiada tahap merokok yang selamat, termasuk merokok secara ringan atau sekali-sekala, malah doktor mengesahkan bahawa walaupun satu batang rokok sehari atau lima hingga enam batang sebulan sudah mencukupi untuk menyebabkan kerosakan ketara pada paru-paru dan sistem kardiovaskular.
“Walaupun tanpa gejala awal seperti batuk atau sesak nafas, kerosakan ini bermula pada peringkat salur darah dan berisiko membawa kepada penyakit serius serta kejadian mengancam nyawa.
“Sehubungan itu, orang awam diingatkan bahawa takrif ‘kawasan’ dan ‘bangunan’ bagi tempat larangan merokok adalah luas dan menyeluruh, selaras dengan Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan Atau Tempat Larangan Merokok) 2024,” katanya.
Menurut kenyataan itu, beberapa platform e-hailing termasuk Grab Malaysia telah menetapkan dasar toleransi sifar terhadap merokok bagi pemandu dan rakan penghantar semasa tempahan atau penghantaran, dengan sebarang pelanggaran boleh membawa kepada penggantungan atau larangan kekal daripada platform.
Sementara itu, Presiden MCTC Prof Dr M.Murallitharan menegaskan pematuhan menyeluruh terhadap larangan merokok penting bagi melindungi semua pihak daripada bahaya asap rokok termasuk asap rokok terpakai dan terhidu toksik, mengurangkan kadar merokok serta membantu perokok berhenti, selain melindungi kanak-kanak daripada menormalisasikan tabiat merokok di tempat awam.
-- BERNAMA