SHAH ALAM, 11 Mac (Bernama) -- Polis Selangor menahan 25 warga asing dalam serbuan di sebuah premis kitar semula tanpa lesen sah di Jalan Bestari, Kapar di Klang, semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua suspek berusia 24 hingga 63 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya hasil siasatan mendapati premis yang diserbu pada 3.15 petang itu telah menjalankan aktiviti perniagaan kitar semula tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) selama kira-kira enam bulan.
“Dalam serbuan tersebut, pihak polis menahan 25 individu warga asing termasuk pemilik premis serta pekerja, yang didapati tidak mempunyai permit kerja yang sah serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Turut dirampas satu unit dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua unit mesin perakam waktu bersama papan kad perakam waktu, serta dua unit alat kawalan jauh pintu pagar utama premis tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 serta Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA