Di Kampung Lobong, Pulau Gaya, tidak jauh dari pesisir Kota Kinabalu, tegak sebuah laluan pejalan kaki baharu dengan sebahagian besarnya dibina menggunakan sisa plastik yang sebelum itu memenuhi kawasan pantai pulau tersebut.
Laluan selebar 0.9 meter dengan panjang 130 meter itu yang menghubungkan sebuah jambatan kayu dengan gelanggang sukan setempat, siap dibina pada Oktober 2025.
Kemudahan ini juga merupakan laluan pejalan kaki pertama di Malaysia yang dibina daripada sampah hanyut dikitar guna serta sisa plastik janaan penduduk, sekali gus menandakan kejayaan projek perintis di bawah Island Waste Innovation Challenge (Cabaran Inovasi Sisa Pulau) anjuran Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Diterajui oleh organisasi tidak berasaskan keuntungan Sabah, Meraki Daat Initiative, projek ini berjaya “melencongkan” 813 kilogram sisa plastik - bersamaan puluhan ribu botol plastik - daripada dibakar atau dihanyutkan semula ke ekosistem marin di sekitarnya.
TUTUP KITARAN SISA PULAU
Tidak seperti jalan asfalt daripada plastik diubah suai yang dalam peringkat percubaan di tanah besar di mana sisa diambil dari kilang selain melibatkan penggunaan jentera berat, projek Pulau Gaya direka berdasarkan realiti logistik komuniti pulau.
Semua kerja pemprosesan dan pembinaan dijalankan di lokasi, sekali gus menutup kitaran sisa tanpa perlu mengangkut bahan dari atau ke tanah besar.
“Projek ini merupakan satu cabaran logistik yang memaksa kami menilai semula cara sisa dikendalikan di kawasan terpencil,” kata Pengasas dan Presiden cawangan Meraki Daat Initiative Michelle de la Harpe yang juga pengarah projek rintis itu.
“Kami membuktikan bahawa sisa plastik tidak diurus, yang sering dianggap sebagai beban, boleh ditransformasikan menjadi aset komuniti yang tahan lama apabila sistem yang tepat, kepakaran dan penglibatan komuniti digabungkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Pulau Gaya menempatkan beberapa perkampungan air yang berdepan cabaran berterusan berkaitan pengurusan sisa, kekurangan infrastruktur dan pendedahan kepada risiko alam sekitar.
Sisa plastik khususnya, telah lama menjadi masalah yang jelas kelihatan, terkumpul di sepanjang pesisir dan laluan air akibat opsyen pelupusan yang terhad.
Bahan untuk pembinaan laluan pejalan kaki Pulau Gaya diperoleh melalui tiga saluran pengumpulan yang diselaraskan selama beberapa bulan.
Menggunakan kapal Mobula milik Marine Reseach Foundation, mereka mengutip sisa marin terapung di perairan sekitar Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar, sekali gus memintas sisa plastik daripada memasuki persekitaran laut lebih dalam.
Di peringkat komuniti, penduduk kampung digalak mengasingkan botol PET (polietilena tereftalat) dan sisa plastik isi rumah, dengan penglibatan penduduk tempatan memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan bahan kitar semula yang konsisten.
Plastik tambahan turut dikumpulkan semasa program Cabaran Kampungku Bersih anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, yang menyaksikan penduduk menjalankan pembersihan pesisir laut setiap hari antara Ogos dan September, sekali gus mengukuhkan rasa pemilikan komuniti terhadap projek tersebut.
KEKANGAN
Dilancarkan pada Januari 2025, projek rintis Pulau Gaya berdepan pelbagai cabaran teknikal dan logistik termasuk ketiadaan bekalan elektrik tiga fasa di pulau itu serta akses terhad kepada bahan binaan konvensional.
Pengurus projek Adora Shariman berkata kekangan tersebut mendorong pasukan teknikal membangunkan kaedah pembinaan hibrid yang menggabungkan blok turap mesra alam (eco-paver) yang diperbuat daripada plastik kitar guna dengan papak konkrit konvensional.
“Disebabkan oleh keterbatasan acuan dan kekangan masa, kami mencipta sistem selang-seli antara eco-paver dan papak konkrit tanpa mengabaikan piawaian keselamatan dan ketahanan,” katanya.
Air hujan yang dikumpul digunakan untuk membancuh konkrit, manakala pasir pantai tempatan dimanfaatkan bagi meminimumkan keperluan pengangkutan dan mengurangkan jejak karbon projek.
Inisiatif ini menghimpunkan pasukan pelbagai disiplin dengan latar belakang kejuruteraan, pembinaan, pematuhan piawaian, pengurusan alam sekitar dan pentadbiran projek bagi memastikan kawalan kualiti, keselamatan dan pematuhan peraturan.
MELANGKAUI PROJEK RINTIS
Dengan pembinaan laluan itu kini selesai, pasukan projek sedang menjalankan ujian tekanan akhir dan proses pensijilan sebagai sebahagian daripada usaha mengkomersialkan teknologi eco-paver bagi penggunaan lebih luas di seluruh Sabah.
Menurut de la Harpe, projek rintis itu bertujuan menjadi model yang boleh diperluas, bukan sekadar intervensi sekali sahaja.
“Kami sedang menyelesaikan apa yang kami panggil sebagai perangkap sisa pulau… di tanah besar, konkrit dan jentera mudah diperoleh.
“Di pulau, kos membawa masuk bahan adalah mahal dan tidak mampan, namun sisa plastik ada di mana-mana. Penyelesaian kami direka khusus untuk keadaan ini,” katanya, sambil menambah bahawa inisiatif mereka bertujuan menangani dua cabaran berterusan di Sabah - kemerosotan infrastruktur luar bandar dan peningkatan pencemaran plastik - melalui satu pendekatan bersepadu.
KERJASAMA DENGAN KERAJAAN
Selepas membentangkan projek itu kepada pegawai kerajaan negeri Sabah awal bulan ini, Meraki Daat Initiative kini berusaha mewujudkan kerjasama rasmi dengan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (JKR) serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi mengintegrasikan teknologi eco-paver ke dalam perancangan pembangunan luar bandar.
“Kami mempunyai data, teknologi dan bukti konsep,” kata de la Harpe.
“Apa yang kami perlukan sekarang ialah kerjasama di peringkat dasar - bukan sekadar kelulusan, tetapi penerimaan. Dengan mengintegrasikan penyelesaian ini ke dalam kerangka kerja pembangunan negeri, Sabah boleh meningkatkan keterhubungan luar bandar sambil pada masa sama membersihkan pesisir lautnya.”
Beliau menegaskan bahawa peluasan inisiatif itu memerlukan sokongan bersepadu, pengesahan teknikal dan penyelarasan dengan piawaian kerja awam bagi memastikan kelestarian jangka panjang.
Sementara itu, di Kampung Lobong, laluan pejalan kaki baharu tersebut telah menjadikan pergerakan penduduk kampung lebih selamat, khususnya ketika air pasang dan hujan lebat.
Bukan sekadar struktur yang diperbuat daripada plastik kitar semula dan konkrit, laluan itu membuktikan bagaimana inovasi alam sekitar, penglibatan komuniti dan pembangunan infrastruktur boleh digemblengkan, walaupun dalam keadaan sumber yang sangat terhad, untuk menghasilkan penyelesaian yang tahan lama dan berteraskan tempatan.
Bagi Pulau Gaya, laluan itu merupakan satu langkah kecil ke depan yang bermakna. Bagi Sabah, projek tersebut mungkin menandakan hala tuju baharu dalam cara sisa, infrastruktur dan pembangunan luar bandar diuruskan.