JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota Polis Cedera Ditumbuk, Dibaling Rim Motosikal Di Balai Polis Mutiara Rini

19/01/2026 08:38 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Jan (Bernama) -- Seorang anggota polis mengalami lebam di bahagian mata kanan dan bahu serta bengkak di bahagian kaki kiri, selepas diserang seorang lelaki di Balai Polis Mutiara Rini di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata suspek berusia 22 tahun itu bertindak membaling satu rim motosikal dan menumbuk muka anggota bertugas di kaunter aduan dalam keadaan agresif. 

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira 3.40 petang dan suspek berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan pihak polis. 

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Dia yang kelihatan seperti kurang siuman telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk pemeriksaan lanjut, " katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kumarasan berkata satu beg silang mengandungi sebilah pisau dan satu rim motosikal turut dirampas. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

-- BERNAMA 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514295