PASARAN

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Diasak Prestasi Suram Serantau

19/01/2026 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari Isnin, ditekan prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya susut susulan laporan mengenai ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif baharu ke atas lapan negara Eropah membabitkan isu Greenland.

Setakat jam 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.36 mata kepada 1,710.38 daripada paras penutup 1,712.74, Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 2.47 mata lebih kepada 1,710.57 dan bergerak dalam julat 1,704.64 hingga 1,711.06 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 641 berbanding 255 manakala 463 kaunter tidak berubah, 1,296 tidak didagangkan dan 11 digantung dagangannya.

Laporan media menyatakan Trump merancang untuk mengenakan tarif dagangan baharu sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda dan Finland mulai 1 Februari ini dan disusuli kenaikan cecah 25 peratus pada 1 Jun, 2026.

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata ugutan Trump itu sebaliknya boleh menjejaskan sentimen tempatan.

Namun, firma itu yakin aliran masuk dana asing yang stabil akan terus memberi sokongan berterusan bagi Indeks Saham Bermodal Kecil FBM.

“Sehubungan itu, kami percaya strategi (pelaburan) kini menumpukan rantaian nilai pusat data, terutamanya dalam segmen mekanikal dan elektrikal dengan MN Holdings berpotensi memberi pendedahan kepada pedagang, terutama susulan kontrak yang baru diperoleh bernilai RM122.7 juta,” katanya dalam satu nota hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB Group susut dua sen kepada RM8.39, IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM8.35 manakala Maybank dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM11.60 dan RM13.86 selain Public Bank yang meraih lima sen kepada RM4.78.

Selain itu, kaunter paling aktif AirAsia X turun lima sen kepada RM1.62, SMRT Holdings merosot 25 sen kepada 19.5 sen, Zetrix AI susut satu sen kepada 80.5 sen, Capital A berkurangan empat sen kepada 50.5 sen manakala Tanco Holdings naik satu sen kepada RM1.26.

Kaunter paling untung didahului oleh Allianz Malaysia yang melonjak RM1.06 sen to RM21.50, Hong Leong Financial Group meraih 60 sen kepada RM21.56, Hong Leong Bank menokok 20 sen kepada RM24.14, Petronas Chemicals Group meningkat 12 sen kepada RM3.39 dan LPI Capital menambah 14 sen kepada RM15.28.

Sebaliknya, kaunter paling rugi adalah United Plantations yang susut 68 sen kepada RM31.02, PLysaght Galvanized Steel kehilangan 10 sen kepada RM2.31, Malayan Pacific Industries berkurangan 38 sen kepada RM34.10, MISC turun 11 sen kepada RM7.69 dan Nestle merosot 10 sen kepada RM115.90.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 32.66 mata kepada 12,612.37, Indeks FBM Top 100 berkurangan 31.38 mata kepada 12,405.34, Indeks FBM Emas Shariah merosot 57.73 mata kepada 12,245.09, Indeks FBM Mid 70 turun 108.29 mata kepada 17,577.31 manakala Indeks FBM ACE menguncup 48.68 mata kepada 4,924.75.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 83.83 mata kepada 20,809.64, Indeks Tenaga susut 7.46 mata kepada 776.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.45 mata kepada 174.62 dan Indeks Perladangan merosot 46.64 mata kepada 8,320.45.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514060