JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Daun, Air Ketum Bernilai Lebih RM72,000 Dalam Dua Serbuan Berasingan

17/01/2026 01:54 PM

KOTA BHARU, 17 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas daun dan air ketum dengan anggaran nilai RM72,450 di dua lokasi berbeza semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan pertama dilakukan menerusi Ops Mitra di sebuah rumah di Kampung Hutan Kuin Hilir, Machang pada 12.45 tengah hari oleh Batalion 8 dan pasukan risik Batalion 7 dan 8 PGA.

"Serbuan di lokasi menemukan bungkusan sebanyak 1,150 kilogram (kg) daun ketum dan turut merampas sebuah kenderaan jenis Produa Alza dengan anggaran rampasan keseluruhan berjumlah RM61,000.

"Seorang wanita berusia 29 tahun turut ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rampasan kedua dilakukan pada 3.30 petang oleh pasukan Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA melaui Ops Taring Wawasan di Jalan Bunohan, Tumpat.

"Siasatan lanjut dilakukan terhadap sebuah kenderaan jenis Proton Iswara menemukan sebuah beg mengandungi 10 botol air ketum seberat 15 liter dianggarkan bernilai RM450, manakala pemandu lelaki berusia 32 tahun ditahan untuk siasatan.

"Kita juga merampas kenderaan tersebut bernilai RM10,000 dan sebuah telefon bimbit dengan anggaran rampasan berjumlah RM11,450," katanya kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513467