EKONOMI

Pendekatan Subsidi Bersasar Kerajaan MADANI Lebih Realistik Tangani Kos Sara Hidup - KSU Perbendaharaan

17/01/2026 11:19 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar dan Nor Baizura Basri

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Di sebalik pandangan bahawa subsidi dianggap tidak efisien dan harga barangan keperluan asas wajar diseragamkan mengikut pasaran, kerajaan MADANI memilih pendekatan menyampaikan subsidi bersasar yang lebih realistik bagi membantu isi rumah menangani tekanan kos sara hidup.

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, penyelarasan subsidi seperti elektrik dan bahan api misalnya, mengambil kira keperluan sebenar rakyat dan bukan semata-mata mengikut sasaran pakar ekonomi atau Bank Dunia yang mencadangkan subsidi hanya untuk golongan miskin.

Beliau berkata kerajaan berpandangan subsidi tidak semestinya tidak baik, sebaliknya menjadi instrumen penting untuk membantu isi rumah sekiranya diurus dan disasarkan secara lebih berkesan.

"Isunya bila dilaksanakan subsidi pukal (blanket subsidy) ia menyebabkan banyak ketirisan contohnya bila minyak diseludup merentasi sempadan, " katanya dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini.

Mengambil contoh pelaksanaan BUDI Madani dan BUDI 95, Johan berkata ia bukan sahaja dapat menangani ketirisan subsidi, malah menerusi penjimatan dana itu kemudiannya disalurkan bagi membantu majoriti rakyat menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 Oktober lepas, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah berani kerajaan dalam melaksanakan penyasaran dan penstrukturan semula subsidi telah membuahkan hasil besar dengan penjimatan keseluruhan mencecah RM15.5 bilion.

Sementara itu, menyentuh mengenai implikasi inflasi menerusi penyaluran SARA dan STR, Johan menekankan bahawa ia tidak menimbulkan tekanan inflasi.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa pendekatan bersasar ini membolehkan kerajaan mengekalkan inflasi di bawah dua peratus, sekali gus menunjukkan bahawa program subsidi seperti SARA tidak menambah tekanan kenaikan harga barangan secara meluas.

"Langkah ini menunjukkan bahawa subsidi bersasar bukan sahaja dapat membantu rakyat yang memerlukan, malah menyokong kestabilan harga dalam pasaran," katanya.

Johan turut menjelaskan, berbeza dengan pendekatan di beberapa negara lain yang menaikkan harga ke paras pasaran dan menyalurkan bantuan tunai, kerajaan Malaysia menggunakan kaedah bersasar bagi membantu golongan rentan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513436