Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 22 Januari ini.
Susulan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga akan memberi tumpuan terhadap hasil mesyuarat, termasuk jangkaan BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus ketika trajektori pertumbuhan dilihat stabil manakala kadar inflasi kekal rendah.
“Berikutan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.05 hingga 4.06 berbanding dolar AS pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd pula menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat 4.05-4.08 ketika tekanan ke atas Rizab Persekutuan AS (Fed) hanya mengukuhkan lagi kewajaran aliran atau trend yang mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS.
Kebimbangan mengenai mengenai kebebasan Fed juga boleh memberi tekanan ke atas dolar AS walaupun Indeks Dolar AS berkemungkinan menjadi lebih stabil pada minggu-minggu akan datang, disokong oleh faktor-faktor bermusim serta data daya tahan ekonomi negara maju berkenaan, kata bank pelaburan itu.
Faktor penentu lain adalah jika siasatan terhadap Pengerusi Fed Jerome Powell digugurkan yang berpotensi memulihkan dolar AS.
Dalam pada itu, ringgit mengakhir urus niaga minggu in dengan lebih rendah berbanding dolar AS namun mengukuh dari segi perbandingan mingguan untuk ditutup pada paras 4.0555/0605 berbanding 4.0700/0765 pada Jumaat lepas.
Pada masa sama, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama minggu ini.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.5637/5670 daripada 2.5805/5848 seminggu sebelumnya, meningkat berbanding euro kepada 4.7076/7134 daripada 4.7383/7459 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4332/4399 daripada 5.4579/4666 sebelum ini.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain.
Berbanding rupiah Indonesia, ringgit meningkat kepada 240.1/240.5 daripada 241.9/242.4 seminggu lepas dan mengukuh sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.83/6.84 daripada 6.87/6.88 sebelum ini.
Unit tempatan itu juga naik berbanding baht Thailand kepada 12.9115/9332 daripada 12.9474/9738 minggu lepas dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1479/1521 daripada 3.1629/1682.
-- BERNAMA