SHAH ALAM, 16 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor berjaya mematahkan cubaan membawa keluar 32 pendatang asing tanpa Izin (PATI) dari Malaysia menggunakan sebuah bot kayu di perairan Kuala Selangor, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi APMM negeri Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata bot berkenaan ditahan pada 4.15 pagi ketika anggota APMM menjalankan rondaan Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2 siri 1/2026 di perairan Selangor.
“Bot ronda APMM telah mengesan sebuah vesel kayu berwarna merah dan biru tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor.
“Vesel tersebut diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, namun juragan bot enggan mematuhi arahan dan cuba melarikan diri sebelum berjaya dipintas 15 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fairusnizam berkata hasil pemeriksaan mendapati 23 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 24 hingga 60 tahun berada di atas vesel berkenaan yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia secara haram.
Beliau berkata kesemua PATI yang ditahan merupakan warganegara Indonesia dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua suspek bersama vesel dirampas dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Mohd Fairuznizam menegaskan pihaknya akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan rondaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan migran di perairan negara.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau sebarang insiden di laut diminta menghubungi Pusat Operasi APMM Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA