Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini terjejas oleh aktiviti pengambilan untung susulan prestasi kukuhnya baru-baru ini, dengan indeks petunjuk pasaran susut sebanyak 0.14 peratus.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.42 mata kepada 1,712.74 daripada paras penutup 1,715.16 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 2.47 mata kepada 1,717.63 dan turun naik antara 1,708.03 dan 1,721.48 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 564 berbanding 482 manakala 589 kaunter tidak berubah, 1,021 kaunter tidak diniagakan dan 22 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.08 bilion unit bernilai RM3.08 bilion daripada 3.25 bilion unit bernilai RM3.32 bilion pada Khamis.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata penurunan sederhana indeks itu dilihat sebagai hanya sementara selepas kenaikan kukuh baru-baru ini.
"Keadaan pasaran kekal memberangsangkan dengan minat belian masih dilihat dalam kaunter mewah dengan asas yang kukuh.
"Selagi FBM KLCI kekal di atas paras sokongan 1,680-90, trend menaik yang lebih meluas dijangka kekal utuh," katanya kepada Bernama.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan sependapat dengan Thong, dengan menyatakan bahawa keadaan keseluruhan pasaran masih memberangsangkan memandangkan penurunan itu terhad dan bukannya menandakan kemerosotan dalam sentimen asas.
"Indeks petunjuk pasaran susut hanya 0.14 peratus, manakala indeks permodalan sederhana dan kecil ditutup dalam jajaran positif, menunjukkan minat risiko melangkaui indeks permodalan besar," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM11.16, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.73, CIMB turun empat sen kepada RM8.41, Tenaga Nasional berkurangan enam sen kepada RM13.86 dan IHH menyusut lima sen kepada RM8.38.
Dalam kalangan kaunter paling aktif, Zetrix AI susut satu sen kepada 81.5 sen, manakala Capital A naik 1.5 sen kepada 54.5 sen, Velesto meningkat setengah sen keada 28 sen, Northeast menokok 5.5 sen kepada 66.5 sen dan Tanco menambah satu sen kepada RM1.25.
Dalam kalangan saham paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 78 sen kepada RM34.48, Batu Kawan naik 26 sen kepada RM20.28, Southern Cable melonjak 20 sen kepada RM2.44, LPI Capital mengukuh 18 sen kepada RM15.14 dan Hong Leong Capital menokok 14 sen kepada RM3.53.
Dalam kalangan saham paling rugi, United Plantations susut RM1.28 kepada RM31.70, KL Kepong turun 54 sen kepada RM20.00, Ayer Holdings berkurangan 39 sen kepada RM7.00, dan Malayan Cement dan Westports menyusut 23 sen masing-masing kepada RM7.60 dan RM5.89.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.60 mata kepada 12,645.03, Indeks FBM Top 100 turun 13.30 mata kepada 12,436.72 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 24.23 mata kepada 12,302.82.
Indeks FBM Mid 70 meningkat sedikit sebanyak 0.15 mata kepada 17,685.61 manakala Indeks FBM ACE naik 7.47 mata kepada 4,973.43.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 21.53 mata kepada 20,725.81, Indeks Tenaga susut 2.38 mata kepada 784.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.34 mata kepada 175.07 dan Indeks Perladangan merosot 81.93 mata kepada 8,367.10.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.56 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 1.71 bilion unit bernilai RM2.98 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.04 bilion unit bernilai RM140.83 juta daripada 1.12 bilion unit bernilai RM168.64 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkembang kepada 475.95 juta unit bernilai RM173.76 juta daripada 411.93 juta unit bernilai RM168.62 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 261.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (234.89 juta), pembinaan (153.80 juta), teknologi (242.21 juta), perkhidmatan kewangan (123.79 juta), hartanah (187.06 juta), perladangan (45.23 juta), amanah pelaburan hartanah (20.38 juta), dana tertutup (151,100), tenaga (115.65 juta), penjagaan kesihatan (75.43 juta), telekomunikasi dan media (44.02 juta), pengangkutan dan logistik (34.40 juta), utiliti (29.94 juta), dan amanah perniagaan (132,600).
-- BERNAMA