DUNIA

Vietnam Pamer Kepimpinan Dalam Strategi Digital ASEAN - Setiausaha Agung ASEAN

16/01/2026 03:40 PM

HANOI, 16 Jan (Bernama-VNA) -- Vietnam mengambil peranan utama menghimpunkan pihak berkepentingan bagi keutamaan dan inisiatif ASEAN khususnya dalam memacu Pelan Induk Digital ASEAN 2030 sekali gus mengekalkan momentum kerjasama dan mempertingkatkan fokus pada pelaksanaan, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Kao berkata demikian dalam temu bual bersama VNA di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN di Hanoi pada Khamis.

Matlamat ditetapkan Vietnam bagi sains dan teknologi, inovasi dan transformasi digital menggariskan visi jangka panjang negara itu, pendekatan strategik dan pemikian tangkas, turut menjadi sasaran ASEAN, katanya.

Blok serantau itu kini menuju ke arah ASEAN 2045: Masa Depan Bersama iaitu kerangka strategik jangka panjang menyasarkan pada membina Komuniti ASEAN yang aman, makmur dan berdaya tahan bagi meningkatkan persepaduan dan pembangunan mampan sambil memastikan tidak pihak tercicir.

Vietnam secara aktif terlibat dalam merangka dokumen dengan penekanan kuat pada sains, teknologi, inovasi dan transformasi digital, menurut Kao, menyatakan keyakinannya bahawa kejayaan Vietnam dalam bidang-bidang strategik ini akan menyumbang secara signifikan kepada ASEAN.

Kao berkata di bawah kepengerusian Vietnam tahun ini, dalam kapasitinya sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN keenam, Pelan Induk Digital ASEAN 2030 kini sedang dimuktamadkan dan diterima pakai.

Pelan induk itu merupakan rangka tindakan yang tidak hanya merapatkan jurang pembangunan antara negara anggota malah membuka ruang pertumbuhan baharu, merangsang persaingan dan memperkukuh kedudukan ASEAN dalam rangkaian nilai digital global, katanya.

ASEAN juga secara aktif menggesa rundingan berhubung Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN yang dilancarkan pada September 2023, bertujuan merumuskan perbincangan dan bergerak ke arah pemeteraian tahun ini.

 Mengenai usaha serantau, setiap negara anggota termasuk Vietnam kini secara aktif melancarkan strategi bagi membolehkan penyertaan lebih besar orang awam dalam proses transformasi digital.

Kao berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN keenam yang diadakan di Hanoi sebagai mesyuarat peringkat menteri pertama tahun ini, membantu merangka keutamaan bagi tahun ini dan menekankan pendigitalan sebagai satu daripada fokus utama blok tersebut.

Beliau memuji Vietnam kerana menjemput rakan dialog, organisasi antarabangsa dan sektor swasta untuk mengambil bahagian. 

Cabaran utama kini adalah menterjemahkan dasar dan inisiatif kepada tindakan yang kukuh, menurut setiausaha agung itu sambil menambah bahawa beliau yakin pada peranan penyelarasan dan kepimpinan Vietnam dalam menggerakkan proses tersebut. 

-- BERNAMA-VNA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513188