JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Seorang doktor swasta didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas empat pertuduhan termasuk membunuh isteri dan anak lelakinya di sebuah kediaman, di sini pada hujung tahun lepas.
Tertuduh, Chia Tong Hong, 34, hanya menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Majistret secara berasingan.
Bagi dua pertuduhan utama, lelaki itu didakwa dengan niat membunuh isterinya, Phun Lai Ling, 37, dan anak lelaki mereka, Aaden Chia Yee Heng, 5, dengan niat menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Dato' Onn, di sini antara 9.50 malam hingga 10.34 malam, 30 Dis tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret A. Shaarmini.
Sementara itu, di hadapan Atifah Hazimah, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan dengan sengaja menghalang tugas polis dalam menjalankan siasatan.
Mengikut kertas pertuduhan, Chia didakwa mengubah kedudukan mayat anak lelakinya ketika siasatan kes bunuh dijalankan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 8.10 pagi, 31 Dis, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret Nabilah Nizam pula, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melupuskan kuku palsu isterinya dengan niat mengelakkan diri daripada hukuman undang-undang.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nurul Fatihah Mohd Nizam dan Siti Aishah Latif.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh yang diwakili peguam Bernard George.
Mahkamah menetapkan 17 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes bagi menunggu laporan bedah siasat, DNA, kimia dan ujian toksikologi.
-- BERNAMA