DUNIA

China, Kanada Komited Perkasa Kerjasama Pelbagai Bidang

16/01/2026 12:38 PM

BEIJING, 16 Jan (Bernama-CMG) -- China dan Kanada senada dan sepakat meningkatkan pertukaran pelbagai peringkat serta memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang.

Kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri China Li Qiang dengan rakan sejawatnya dari Kanada, Mark Carney di Beijing pada Khamis.

Li berkata China bersedia meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dengan Kanada dan memanfaatkan mekanisme dialog antara kerajaan bagi memastikan pertumbuhan perdagangan dua hala yang mantap.

Beliau berkata kerjasama membabitkan tenaga bersih, teknologi digital, pertanian moden, aeroangkasa, pembuatan dan kewangan perlu diperkasa bagi memupuk lebih banyak pertumbuhan baharu.

Li turut menekankan sokongan kedua-dua pihak terhadap program pertukaran dalam bidang pendidikan, budaya, pelancongan, sukan, belia dan sebagainya.

Mengenai kolaborasi antarabangsa, beliau menyatakan kesediaan China untuk bekerjasama dengan Kanada di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Kumpulan 20 (G20), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan lain-lain bagi memelihara multilateralisme dan perdagangan bebas.

Sementara itu, Carney berkata Kanada akan memajukan kerjasama dengan China dalam bidang perdagangan, tenaga, ekonomi hijau, sosiobudaya dan sebagainya, selain meningkatkan komunikasi dan koordinasi bagi menyokong peranan utama PBB dalam urusan antarabangsa serta menjaga sistem perdagangan pelbagai hala.

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513102