DUNIA

Ancaman Keselamatan Paksa 3,200 Orang Awam Pindah Dari Darfur Utara: PBB

16/01/2026 10:06 AM

KHARTOUM, (Sudan) / ISTANBUL, 15 Jan (Bernama-Anadolu) -- Seramai 3,200 orang awam terpaksa berpindah dari beberapa kampung di negeri Darfur Utara, Sudan, dalam tempoh tiga hari lalu berikutan keadaan keselamatan yang semakin merosot, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata pasukan lapangan Matriks Penjejakan Perpindahan menganggarkan 3,200 penduduk melarikan diri dari beberapa kampung di daerah Karnoi di Darfur Utara antara 11 hingga 13 Jan susulan peningkatan keganasan di kawasan itu.

Agensi itu berkata perpindahan tersebut melibatkan 12 kampung, termasuk Furawiya, Hangala, Koro dan Gharsalba.

Kebanyakan mangsa yang berpindah melarikan diri ke arah barat menuju sempadan Chad, menurut agensi itu.

IOM berkata keadaan di kawasan berkenaan masih sangat tidak menentu dan tegang, dan pihaknya akan terus memantau perkembangan secara dekat.

Pada Isnin, pertubuhan itu melaporkan lebih 8,000 orang berpindah dalam satu hari, iaitu pada 9 Jan, dari Darfur Utara apabila keadaan keselamatan di wilayah itu semakin meruncing.

Pada hari sama, kumpulan bersenjata yang berpihak kepada tentera Sudan berkata 19 orang terbunuh dalam serangan darat berskala besar oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di kawasan Jargira di Darfur Utara.

Daripada 18 negeri di Sudan, RSF kini menguasai kesemua lima negeri di wilayah Darfur, kecuali beberapa kawasan utara Darfur Utara yang masih berada di bawah kawalan tentera. Tentera Sudan pula kekal menguasai kebanyakan 13 negeri selebihnya di selatan, utara, timur dan tengah, termasuk ibu negara, Khartoum.

Konflik berdarah antara tentera dan RSF yang bermula pada April 2023 telah meragut ribuan nyawa dan memaksa jutaan penduduk berpindah.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2513019