AM

KESUMA Jalankan Kajian Lanjut, Perhalusi Pelaksanaan Dasar Baharu Penggajian Ekspatriat - Ramanan

15/01/2026 03:44 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menjalankan kajian lanjut dan menganalisis data bagi memperhalusi pelaksanaan dasar baharu penggajian ekspatriat yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri R. Ramanan berkata pihaknya kini meneliti pelbagai aspek dasar itu bagi memastikan ia dilaksana secara menyeluruh dan terselaras, mengambil kira keperluan tenaga kerja dalam jangka sederhana serta jangka panjang.

“Kami sebenarnya sedang membuat kajian dan akan membuat keputusan namun sudah tentu memerlukan lebih banyak data serta butiran lanjut... dari segi jangka sederhana dan jangka panjang, kami akan mengambil langkah yang perlu apabila tiba masanya,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata KESUMA kini di peringkat akhir memuktamadkan rangka kerja dasar itu dan perbincangan telah berlangsung sejak awal tahun di tengah-tengah jadual mesyuarat Jemaah Menteri dan sesi pasca Kabinet yang padat.

Ramanan berharap keputusan muktamad mengenai perkara-perkara terunggak dalam dasar itu dapat diumumkan selewat-lewatnya pada akhir bulan ini, atau paling lewat pada awal bulan depan.

Menjelaskan matlamat lebih luas dasar berkenaan, Ramanan berkata kerajaan berhasrat mengutamakan kepulangan bakat Malaysia yang kini bekerja di luar negara dengan menawarkan pekerjaan yang kompetitif dan bergaji tinggi setanding dengan gaji yang diperoleh di luar negara.

Pada masa sama, beliau berkata bakat asing kekal penting untuk pembangunan negara terutama dalam menyumbang kepada pemindahan ilmu, latihan dan kemahiran kursus sambil menekankan bahawa bakat tempatan serta asing perlu wujud bersama dalam satu ekosistem.

Mengulas mengenai had 10 tahun bagi pas penggajian ekspatriat sedia ada, beliau berkata perancangan penggantian adalah penting bagi memastikan jawatan bergaji tinggi akhirnya diisi oleh warganegara Malaysia terutama selepas ekspatriat berkhidmat dalam tempoh yang panjang.

“Bagi jawatan bergaji tinggi, selepas 10 tahun, bukankah lebih wajar kita tawarkan terlebih dahulu kepada warganegara Malaysia sebelum ditawarkan kepada warga asing?” katanya sambil menambah perancangan penggantian kini adalah terpakai kepada ekspatriat Kategori 2 dan 3.

Ramanan berkata KESUMA juga sedang meneliti ekspatriat Kategori 1 bagi memastikan pendekatan yang menyeluruh sambil menekankan bahawa keputusan perlu dibuat dengan berhati-hati kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kelangsungan hidup pekerja.

“Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh KESUMA akan memberi kesan kepada ramai orang. Ini adalah berkaitan dengan kesejahteraan pekerja,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2512788