JOHOR BAHRU, 13 Jan (Bernama) -- Pemilik kenderaan asing dari Singapura yang mengisi RON95 dengan menutup nombor pendaftaran pada awal Januari lepas akan didakwa di Mahkamah Majistret Kulai pada esok.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pendakwaan terhadap lelaki berusia 63 tahun itu mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan lanjut terhadap pemilik kenderaan tersebut telah dijalankan dan didapati nombor pendaftaran kenderaan itu telah diubah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 30 saat menerusi media sosial, yang memaparkan tindakan pemilik kenderaan jenis Volkswagen Jetta berwarna perak, dengan nombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.
Tan berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kulai menerima laporan berkenaan video tular itu pada 4 Jan lepas, kira-kira 5 petang.
Polis sebelum ini mengesahkan pemilik yang juga pemandu kenderaan itu merupakan pemegang status penduduk tetap (PR) republik itu.
-- BERNAMA