KOTA BHARU, 12 Jan (Bernama) -- Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kini dilengkapi dengan Unit Rawatan Strok, iaitu yang terbesar di Semenanjung dengan menyediakan rawatan reperfusi strok secara lengkap.
Timbalan Pengarah Operasi HPUSM Prof Dr Imran Yusoff berkata penawaran unit rawatan strok berskala besar itu berikutan hospital berkenaan menerima antara 900 sehingga 1,000 pesakit strok iskemia setiap tahun.
"Unit ini menyediakan rawatan reperfusi strok secara lengkap antaranya trombolisis (mencairkan darah beku) serta trombektomi (mengeluarkan darah beku). Selain itu, ia turut menawarkan program rehabilitasi yang komprehensif.
"Unit Rawatan Strok HPUSM yang terletak di Wad 1 Selatan ini merupakan satu-satunya wad khusus untuk pesakit strok di Kelantan dan yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Unit ini dilengkapi 18 katil termasuk 14 katil rawatan strok akut dan empat katil rehabilitasi strok, selain tujuh katil turut ditempatkan di Unit Separa Kritikal (HDU) Neurologi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi di Wad 1 Selatan HPUSM, Kubang Kerian, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pakar Perubatan Neurologi Prof Madya Dr Sanihah Abdul Halim.
Mengulas lanjut, Dr Imran berkata rawatan di Unit Strok HPUSM berkenaan disokong oleh penggunaan teknologi pengimejan moden dan terbaharu seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) serta CT Perfusion (CTP) khusus untuk strok dan membolehkan diagnosis dibuat dengan lebih cepat dan tepat.
"Keseluruhan penubuhan unit ini menelan belanja kira-kira RM680,000. Kita berharap dengan adanya Unit Rawatan Strok HPUSM serta HDU Neurologi ini dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat dalam meningkatkan hasil rawatan pesakit strok," katanya.
Sementara itu, Dr Sanihah berkata setakat ini pesakit strok muda yang direkodkan di hospital berkenaan berusia antara 20 hingga 30-an disebabkan beberapa faktor dan risiko.
"Dahulu biasanya orang yang berusia menghidap strok tapi sekarang sudah ramai golongan muda berusia antara 20 hingga 30-an sudah mendapat penyakit ini terutama mereka yang mempunyai kencing manis, darah tinggi, obesiti serta kolestrol.
"Mengikut nisbah, satu dalam empat orang berisiko untuk mendapat penyakit strok. Individu yang diserang strok perlu mendapatkan rawatan pantas sekurang-kurangnya sebelum enam jam selepas terkena serangan bagi hasil rawatan yang lebih baik," katanya.
--BERNAMA