GAYA HIDUP

Stetoskop Dan Gitar: Sentuhan Kemanusiaan Dr Amirul Syafiq

09/01/2026 03:55 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 9 Jan (Bernama) -- Di sebalik kesibukan menggalas tanggungjawab berat sebagai doktor perubatan, tersembunyi jiwa seni yang halus dalam diri Pengasas Bersama Jauhar Medical Clinic (JMC) Dr Amirul Syafiq Hishamudin, yang kini mengendalikan empat cawangan klinik di negeri ini.

Anak jati Johor, Dr Amirul, 32,  bukan sekadar diketahui sebagai doktor muda yang berjaya mengembangkan empayar klinik, malah turut dikenali dalam kalangan pesakit dan rakan sebagai seorang doktor yang menjadikan muzik sebahagian daripada dirinya serta mekanisme pendekatan kemanusiaan dalam rawatan.

Malah, ketika ditemui Bernama baru-baru ini, anak kelahiran Muar itu sempat memperlihatkan kehebatan memetik instrumen gitar memainkan lagu ‘Sejati’.

“Bagi saya sendiri, muzik terutama gitar ini sedikit-sebanyak berfungsi sebagai ‘coping mechanism’ atau mekanisme daya tindak untuk menangani tekanan. Setiap orang ada cara tersendiri untuk melepaskan tekanan ada yang menyanyi, ada yang bersukan dan saya pula memilih untuk bermain gitar.

“Dalam masa yang sama, pendekatan holistik yang menjadi teras kepercayaan saya dalam dunia perubatan membuatkan saya yakin penyembuhan bermula daripada sentuhan kemanusiaan, bukan semata-mata preskripsi ubat. Rawatan sebenar bukan hanya tertumpu pada penyembuhan simptom, sebaliknya perlu menyentuh keseluruhan aspek kehidupan pesakit,” kata bapa kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu. 

pic-2

Berkongsi yang beliau turut memainkan alat muzik itu untuk pesakitnya, Dr Amirul berkata walaupun hanya lagu ringkas, kadangkala sudah memadai sebagai satu bentuk terapi emosi yang membantu proses penyembuhan. 

Menurut lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi,  muzik turut menyatukan jiwa dan kerjayanya, di mana beliau aktif dalam kerja-kerja kebajikan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk rawatan percuma untuk golongan asnaf dan komuniti Orang Asli, dan diselitkan dengan persembahan muzik. 

Memiliki lebih 10 buah gitar dalam lingkungan harga antara RM300 hingga RM30,000, Dr  Amirul berkata minatnya terhadap instrumen muzik, khususnya gitar, berputik ketika masih kecil apabila beliau didedahkan kepada pelbagai genre muzik oleh ibu bapanya.

Bagaimanapun gitar hanya benar-benar menjadi sebahagian daripada hidupnya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pencapaian cemerlang, memenuhi hasrat ibu, Suhana Shamsi, yang mahu anak sulung daripada dua beradik itu berjaya dalam pelajaran terlebih dahulu.

pic-3

Katanya setiap gitar yang dimilikinya mempunyai nilai sentimental tersendiri termasuk gitar pertama yang dibeli pada 2010.

“Gitar pertama itu penuh kenangan, lengkap dengan tandatangan legenda muzik tanah air seperti Datuk Awie dan Joe Branko.

“Namun, gitar paling bernilai ialah gitar impian saya, jenama Gibson yang ditempah khas dari Nashville, Amerika Syarikat dengan kos sekitar RM30,000 dan mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan. Nilainya bukan pada harga semata-mata, tetapi pada perjalanan untuk memilikinya,” kata beliau. 

Membuka klinik sendiri selepas berkhidmat di hospital kerajaan dari 2018 hingga 2023 katanya bukan sesuatu yang mudah selain menuntut pengorbanan besar, termasuk bekerja tanpa menerima gaji, tidur di klinik selama beberapa hari serta bekerja siang dan malam demi memastikan kelangsungan operasi.

pic-4

Kini, hasil ketekunan dan komitmen terhadap kualiti perkhidmatan, JMC mempunyai hampir 50 kakitangan, termasuk kira-kira 25 orang doktor. Kebanyakan cawangannya turut menerima penilaian lima bintang di Google Review, mencerminkan tahap kepuasan pesakit terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Doktor muda ini menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 20 cawangan klinik di seluruh Johor menjelang 2034 dengan hasrat memastikan setiap daerah mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti pada harga yang berpatutan, termasuk di kampung halaman asalnya di Muar.

“Tidak salah untuk bermimpi. Yang penting adalah berusaha sebaik mungkin dan cuba menggabungkan minat dengan apa yang kita lakukan. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk, kadangkala di luar jangkaan,” katanya.

--BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2510657