JENAYAH & MAHKAMAH

Sembilan Termasuk Empat Penuntut Cedera Letupan Di Universiti Swasta

12/01/2026 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Sembilan termasuk empat penuntut cedera dalam insiden letupan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta, HELP University, di Bukit Damansara, di sini hari ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan pada 11.40 pagi dengan letupan berlaku di kawasan penyelenggaraan yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti itu.

“Sembilan mangsa terlibat dengan kecederaan berbeza termasuk ada mangsa cedera parah, melecur serta kecederaan akibat terkena serpihan kerana letupan berlaku dengan kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada dinding di kawasan terlibat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Fadil berkata kesemua mangsa dihantar ke beberapa hospital berdekatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Sungai Buloh dan diasingkan mengikut tahap kecederaan masing-masing.

Beliau berkata lima lagi mangsa terdiri daripada masing-masing dua pekerja kontraktor luar bagi kerja pembaikan penyaman udara dan warga asing bekerja di kafeteria serta seorang petugas pengurusan universiti.

Fadil berkata kawasan kejadian juga belum dipenuhi penuntut semasa letupan berlaku kerana ramai yang masih bercuti.

Berhubung situasi di lokasi, beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama pasukan HAZMAT telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan benar-benar selamat dan mengelakkan risiko letupan susulan.

“Setakat ini, JBPM sudah mengesahkan kawasan itu selamat sepenuhnya dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Fadil berkata pihak pengurusan universiti telah memanggil juruteknik susulan masalah teknikal pada sistem penyaman udara itu namun kerja pembaikan belum sempat dilaksanakan.

Beliau berkata sebanyak 38 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini, termasuk pasukan forensik bomba dan HAZMAT dengan jumlah itu boleh ditambah jika diperlukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Hassan 'As'ari Omar semasa dihubungi berkata pemeriksaan awal mendapati letupan berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara, dengan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati dua ekor anjing Unit Pengesan K9 JBPM turut digunakan dalam operasi itu. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511498