Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 12 Jan (Bernama) -- Jumlah nilai dagangan Kemboja dan Malaysia mencecah RM4.5 bilion (US$1.1 bilion) tahun lepas hasil pengukuhan kerjasama pelbagai hala lebih sedekad kedua-dua kerajaan dalam mencapai sasaran dagangan.
Menurut data dagangan sementara Jabatan Am Kastam dan Eksais Kemboja, bagi Januari hingga Disember 2025, Kemboja mengimport barangan dari Malaysia bernilai RM3.8 bilion (US$935.33 juta) manakala eksport ke Malaysia bernilai RM583.86 juta (US$143.58 juta).
Jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara melonjak 24.7 peratus daripada RM3.5 bilion (US$865.7 juta) pada 2024.
Trend berkenaan menunjukkan bagaimana perdagangan antara kedua-dua negara telah berkembang sejak 1990-an apabila Malaysia memasuki pasaran Kemboja, yang ketika itu baharu sahaja menamatkan perang sivil, dengan mempromosikan barangan pengguna.
"Untuk lebih 20 tahun, kedua-dua negara telah membina hubungan diplomatik dan perdagangan yang kukuh serta kepercayaan. Permintaan terhadap barangan Malaysia daripada pasaran Kemboja meningkat terutamanya selepas konflik sempadan dengan Thailand," penyelidik sosioekonomi bebas berpangkalan di Phnom Penh, Dr Chey Tech memberitahu Bernama.
Lawatan bersejarah Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara pascaperang itu pada 14 April 1994, merupakan detik penting yang mendefinisikan hubungan diplomatik Kemboja-Malaysia, yang turut mengubah paradigma perdagangan kedua-dua negara.
Syarikat-syarikat Malaysia yang bermula dengan produk seperti lingkaran ubat nyamuk, tembakau dan minuman kini telah mempelbagaikan bakul dagangan mereka ke sektor yang merangsang ekonomi moden seperti telekomunikasi, perbankan, runcit, penjagaan kesihatan, infrastruktur dan pembuatan.
Malaysia kekal sebagai negara sumber import ketujuh tertinggi bagi Kemboja antara 20 negara lain.
Sejumlah besar instrumen, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan keanggotaan dalam blok dagangan ASEAN, terus memacu perdagangan antara negara ASEAN di rantau ini, yang diduduki lebih 680 juta orang.
Jumlah dagangan Kemboja dengan negara anggota RCEP pula mencecah RM162 bilion (US$40 bilion) tahun lepas.
"Hubungan antara Kemboja dan Malaysia semakin kukuh baru-baru ini dan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, sebagai Pengerusi ASEAN (tahun lepas) yang secara signifikan telah menyumbang kepada hubungan baik ini.
"Terdapat peluang yang luas untuk syarikat-syarikat Malaysia melabur di Kemboja terutamanya dalam pertanian, pemprosesan makanan, pelancongan, elektronik dan sektor automatif," kata Tech.
Bank Pembangunan Asia berpangkalan di Manila meramalkan ekonomi Kemboja berkembang pada sekitar lima peratus tahun ini.
-- BERNAMA