SUKAN

Jurulatih Kabaddi Gurmit Bersara Di Kemuncak Karier

11/01/2026 07:19 PM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kebanyakan jurulatih memilih untuk mengundur diri apabila prestasi pasukan mula merosot, namun berbeza bagi jurulatih kabaddi kebangsaan, Gurmit Singh, yang mengambil keputusan bersara ketika berada di kemuncak kariernya.

Keputusan itu dibuat selepas beliau berjaya membimbing skuad kabaddi negara meraih pingat emas bersejarah pada Sukan Thailand 2025, sekali gus menamatkan penantian panjang Malaysia dalam acara tersebut.

Bercakap kepada Bernama, Gurmit menegaskan keputusan untuk berundur itu tidak ada kaitan dengan soal ganjaran atau kepentingan peribadi, sebaliknya didorong oleh rasa puas hati selepas berjaya melaksanakan misinya membawa kegemilangan kepada negara.

Menurutnya, keputusan itu menjadi lebih mudah apabila beliau memilih untuk bersara selepas mencapai kejayaan tertinggi.

“Kebanyakan orang bersara apabila prestasi menurun. Saya memilih untuk berundur selepas menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dan ini adalah masa yang paling tepat untuk saya,” katanya.

Gurmit berkata sepanjang bergelar jurulatih kabaddi kebangsaan, beliau telah mencurahkan segala usaha dan tenaga bagi memastikan sukan itu mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya telah melakukan yang terbaik sebagai jurulatih kabaddi Malaysia untuk membawa kegemilangan dan membanggakan negara. Saya rasa tanggungjawab saya telah dilaksanakan dengan baik dan saya berasa gembira serta bangga dengan pencapaian yang diraih,” katanya hari ini.

Di bawah bimbingannya, pasukan kabaddi Malaysia membawa pulang satu pingat emas, satu perak dan empat gangsa membabitkan kategori lelaki dan wanita.

Mengimbau detik kejayaan itu, Gurmit mengakui saat mendengar lagu kebangsaan berkumandang selepas kejayaan meraih emas di Thailand menjadi kenangan yang akan dikenang sepanjang hayatnya.

Bekas jurulatih dan pemain hoki kebangsaan itu, yang mula menceburi bidang kejurulatihan kabaddi sejak 2018, turut menyuarakan keyakinan bahawa masa depan kabaddi negara berada di landasan yang tepat.

Beliau menggesa barisan jurulatih dan pemain generasi baharu agar terus bekerja keras dalam mengangkat martabat sukan itu ke tahap lebih tinggi.

“Saya berundur ketika berada di puncak, namun kabaddi Malaysia mesti terus mendaki ke tahap yang lebih tinggi,” kata bekas Jurulatih Latihan Fizikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2511170