SUKAN

JMR Jalin Kerjasama Dengan XPEL Bagi Musim Perlumbaan 2026

09/01/2026 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Johor Motorsports Racing (JMR) hari ini mengumumkan kerjasama dengan syarikat filem perlindungan automotif premium, XPEL bagi musim perlumbaan akan datang sekali gus memperkukuh kedudukan JMR sebagai antara pasukan terkemuka dalam sukan permotoran di Asia.

Susulan kejayaan JMR meraih kedudukan podium pada perlumbaan Suzuka 1000 September lepas, XPEL telah memperluas komitmennya kepada kerjasama penuh sepanjang musim perlumbaan 2026.

Presiden dan pemandu utama JMR Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim berkata XPEL merupakan rakan kerjasama terbaik untuk pasukan itu ketika JMR berusaha mencapai kejayaan berterusan dalam Intercontinental GT Challenge dan Siri Le Mans Asia pada 2026.

“Saya telah menggunakan produk XPEL pada semua kereta saya selama beberapa tahun, jadi saya amat berbesar hati untuk menjalin kerjasama secara rasmi dengan mereka bagi musim baharu ini.

“Penyelesaian perlindungan XPEL amat penting bagi kami dalam perlumbaan ketahanan jarak jauh, dengan kereta perlu berprestasi dan kelihatan pada tahap terbaik dari awal hingga akhir. XPEL ialah jenama yang berkongsi komitmen kami terhadap kecemerlangan dan kami menantikan kerjasama erat dalam usaha mencapai kesempurnaan di dalam dan di luar litar,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden XPEL bagi Asia Pasifik Chris West berkata terdapat persamaan yang ketara antara JMR dan XPEL, khususnya dalam usaha mencapai prestasi serta kejituan.

“JMR melambangkan kecemerlangan di dalam serta di luar litar dan XPEL berbangga menyokong pasukan yang berkongsi komitmen kami terhadap prestasi dan kejituan.

“Sambil kami terus berkembang di seluruh Asia, kerjasama ini membolehkan kami berhubung dengan mereka yang mempunyai minat mendalam sambil mempamerkan prestasi produk perlindungan XPEL dalam persekitaran sukan permotoran yang paling mencabar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2510799