SHAH ALAM, 10 Jan (Bernama) -- Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim dijadualkan mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Isnin ini bagi menyembah maklum berhubung pelaksanaan pemusatan industri ternakan babi secara moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sesi itu juga memberi peluang kerajaan negeri membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) termasuk langkah proaktif oleh agensi penguatkuasaan agar keselamatan dan kebersihan persekitaran industri itu dapat diperkukuh tanpa sebarang kompromi.
“MMKN terdahulu telah mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketat berasaskan keutamaan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.
“Keputusan diambil setelah mengambil kira kesemua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, inisiatif itu amat penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri itu dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa kesan sampingan, di samping menjaga sensitiviti masyarakat.
Dalam masa sama, Amirudin menegaskan langkah itu juga merupakan inisiatif yang lebih tersusun dalam rangka usaha memastikan isu sensitif berkenaan diuruskan secara berhemah, menyeluruh serta berkesan dalam menangani isu alam sekitar, sepertimana diperincikan Izham dalam sidang media, Khamis lepas.
“Perancangan yang telah diputuskan itu juga bagi mengimbangi keperluan komuniti, memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang secara lebih sistematik.
“Kerajaan Negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat dan pedoman Sultan Selangor dalam menangani isu ini serta mendoakan Tuanku terus dikurnia kesejahteraan dan keafiatan untuk terus membimbing dan menaungi negeri ini dengan penuh hikmah," katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, baginda memandang serius keputusan tersebut, khususnya kerana ia berpotensi melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.
-- BERNAMA