GAYA HIDUP

Anak Malaysia Bawa "Wau Bulan" Ke Pentas Gala Tahun Baharu Di China

03/01/2026 09:51 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Meskipun bukan artis profesional, dua jejaka Malaysia ini tetap memberikan yang terbaik mempersembahkan lagu tradisional Wau Bulan di acara televisyen terbesar China yang mendapat tontonan ratusan juta penonton negara itu.

Muhammad Isa Ahmad Zubir, 37 dan Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil, 38, masing-masing merupakan pakar asing merangkap hos serta penyiar di China Media Group (CMG), tampil membuat persembahan tersebut bersempena dengan Malam Gala Tahun Baharu 2026 di Luliang, Provinsi Shanxi, China, baru-baru ini.

Muhammad Isa berkata peluang luar biasa itu hadir tanpa diduga apabila beliau dan Ahmad Fawzan, pada awalnya diminta menghantar rakaman video nyanyian untuk penilaian pihak pengurusan CMG sebelum dimaklumkan mereka terpilih mewakili Malaysia membuat persembahan pada malam gala tersebut.

pic-2

“Semua berlaku dengan sangat pantas… kami kemudiannya diminta untuk ke Luliang bagi proses rakaman di sana. Tak sangka langsung dapat peluang sebesar itu sebab pada awalnya kami jangkakan hanya persembahan kecil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malam gala tersebut turut menampilkan penyanyi terkenal China antaranya Richie Jen, Wang Yibo, Zhou Shen (Charlie), Wang Sulong (Silence) dan Han Geng (Han Kyung).

Menurut Muhammad Isa, persembahan mereka dalam segmen antarabangsa bersama-sama dengan Vietnam dan Kazakhstan mewajibkan setiap negara menonjolkan lagu rakyat sebagai identiti budaya dan pihak pengurusan memilih lagu Wau Bulan untuk mewakili Malaysia pada malam berkenaan.

Katanya mereka hanya diberikan masa kurang seminggu untuk membuat persiapan menghafal lirik, gerak gaya dan memastikan sebutan yang tepat bagi menyampaikan lagu tradisional itu dengan berkesan.

pic-3

“Kami membuat latihan setiap hari. Pantang ada masa kami akan selitkan buat latihan dan turut membuat penyelidikan untuk gerakan yang sesuai pada persembahan itu. Semuanya untuk pastikan budaya Malaysia keluar dengan bangga,” katanya.

Persembahan mereka itu turut diiringi pensyarah muzik dari Indonesia dan China, sekali gus menjadikan kolaborasi tersebut simbol pertukaran budaya serantau yang cukup bermakna.

Sementara itu, Ahmad Fawzan berkongsi pengalaman lebih mencabar apabila proses rakaman persembahan berlangsung sekitar 2.30 pagi di ruangan terbuka, sejurus selepas salji turun dengan suhu  -5 darjah Celsius.

pic-4

“Memang sejuk sampai ke tulang. Tambahan pula kami hanya pakai baju Melayu sepanjang rakaman. Tapi dek kerana rasa bangga dapat mewakili Malaysia, kami lawan rasa sejuk itu… Lagipun, semangat itu (membuat persembahan) memang tidak boleh digambarkan, walau sejuk tetap mahu buat yang terbaik,” katanya.

Yang lebih manis menurut anak jati Melaka itu ialah persembahan mereka bukan sahaja diraikan oleh pasukan produksi, malah menarik perhatian pemuzik antarabangsa yang turut menghayati irama lagu tradisional Melayu tersebut.

Sebagai kakitangan asing dan bukan artis profesional, Fawzan mengakui peluang berkenaan merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja buat dirinya, tetapi juga untuk Malaysia.

pic-5

“Bangga sangat bila dapat pakai baju Melayu, nyanyi lagu tradisional Malaysia, dan orang lain ambil gambar. Rasa macam dapat durian runtuh!” katanya, persembahan itu disiarkan oleh stesen televisyen milik China, China Central Television (CCTV) pada malam tahun baharu, baru-baru ini, sekali gus mengangkat lagu dan budaya Malaysia di pentas antarabangsa.

Ahmad Fawzan menegaskan pengalaman itu membuka mata beliau tentang betapa pentingnya memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia, sambil berharap lebih ramai anak muda diberi peluang sama di masa depan.

“Ini bukan sekadar persembahan, ini peluang untuk kita tunjukkan Malaysia kepada dunia. Rasa bangga memang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata,” katanya menutup kisahnya dengan penuh patriotik.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508352