AM

Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Tumpuan Lawatan Rasmi PM Ke Turkiye

06/01/2026 08:16 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 6 Jan (Bernama) -- Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye bermula hari ini dengan antara tumpuan utama lawatan itu ialah penganjuran Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turkiye yang diadakan buat julung kalinya.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata mesyuarat yang akan dipengerusikan Anwar bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan itu, merupakan platform utama untuk membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

“Pada akhir sesi mesyuarat tersebut, satu kenyataan bersama akan turut dikeluarkan,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye, di sini hari ini.

Sazali berkata mesyuarat berkenaan, merupakan antara kemuncak lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye yang diadakan atas jemputan Presiden Erdogan, dan merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke negara itu.

Beliau berkata sepanjang lawatan tersebut, Perdana Menteri akan menerima sambutan rasmi oleh Presiden Erdogan di Kompleks Presiden, sebelum mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara strategik dan kritikal melibatkan hubungan Malaysia-Turkiye.

Selain mesyuarat peringkat tertinggi itu, Sazali berkata Perdana Menteri turut akan mempengerusikan mesyuarat meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, sebagai usaha meneroka peluang baharu kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Mesyuarat ini menunjukkan kesungguhan kerajaan MADANI untuk membentuk, meneroka peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan Malaysia-Turkiye.

“Setakat ini sebanyak 40 syarikat Turkiye dijangka menyertai mesyuarat meja bulat tersebut yang merangkumi pelbagai sektor, katanya.

Sazali berkata Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk Power Shift, Strategic Choices for Malaysia and Turkiye kepada golongan profesional, akademik, pegawai kanan Turkiye serta pelajar.

Dalam konteks hubungan ekonomi, beliau berkata nilai perdagangan dua hala Malaysia-Turkiye pada 2024 mencecah US$5.2 bilion, dengan sasaran baharu untuk meningkatkan jumlah itu kepada US$10 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula hari ini hingga 8 Jan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Anwar turut diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa lawatan rasmi ini.

Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turki (HLSC) yang diadakan buat kali pertama itu, berfungsi sebagai platform untuk menilai kerjasama bilateral, menilai inisiatif yang sedang dijalankan serta meneroka peluang baharu untuk kolaborasi.

“Perbincangan dijangka merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, pertahanan, keselamatan, tenaga, semikonduktor, kesihatan, pelancongan, pendidikan serta pertukaran rakyat ke rakyat, termasuk juga hal-hal serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi; MoU Kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pejabat Pelaburan dan Kewangan Presiden Republik Turki; dan MoU mengenai Kerjasama antara EXIM Bank Malaysia dan Turk Eximbank.

Mereka juga akan menyaksikan MoU dan Kerjasama antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA), serta Surat Penerimaan bagi Perolehan Satu Unit Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2.

“Sebagai sebahagian daripada program, Perdana Menteri akan menyertai Mesyuarat Meja Bulat Perniagaan bersama peneraju industri Turki, untuk mempromosi peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Lawatan rasmi ini menekankan komitmen berterusan Malaysia untuk memperdalam hubungan dengan Turki, susulan peningkatan hubungan bilateral kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Julai 2022.

Dari Januari hingga November 2025, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turki mencecah RM21.2 bilion (US$4.92 bilion) dan republik itu terus menjadi rakan ekonomi penting bagi Malaysia.

“Pada 2024, Turki merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (US$5.28 bilion),” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509437