AM

UKM Sokong Inisiatif Dapur Siswa KPT, Perkukuh Kebajikan Pelajar

06/01/2026 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Peruntukan RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif Dapur Siswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan langkah tepat dan berimpak tinggi dalam menangani tekanan kos sara hidup mahasiswa khususnya bagi memastikan keperluan asas seperti makanan sentiasa terjamin sepanjang tempoh pengajian.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kenyataan hari ini turut menyambut baik pengumuman peruntukan RM15 juta itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Ts Dr Norinsan Kamil Othman berkata sebagai universiti yang sentiasa mengutamakan kebajikan pelajar, UKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan secara berstruktur dan berterusan menerusi pendekatan e-Prihatin.

"Antara usaha sedia ada ialah bantuan kebajikan bersasar, sokongan kesejahteraan mental dan emosi melalui aplikasi HaloKaunselor serta intervensi segera kepada pelajar yang berdepan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen jelas UKM dalam memastikan kebajikan pelajar ditangani secara menyeluruh dan berteraskan nilai ihsan.

Norinsan Kamil berkata UKM juga melaksanakan Gerobok Rezeki di pelbagai fakulti sebagai inisiatif perkongsian makanan dan barangan keperluan asas yang boleh diakses oleh pelajar secara berhemah serta bermaruah.

Di kolej kediaman pula, beliau berkata pelaksanaan Menu Rahmah menyediakan pilihan makanan berkhasiat pada harga mampu milik sekali gus membantu meringankan beban kewangan harian pelajar. 

Norinsan Kamil juga berkata HEPA UKM komited untuk memastikan setiap inisiatif kebajikan dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh agar tiada mahasiswa yang tercicir atau berdepan isu kelaparan sepanjang tempoh pengajian. 

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPT dan Kerajaan Malaysia atas pengenalan inisiatif Dapur Siswa. 

“Dengan sokongan berterusan semua pihak termasuk alumni, rakan industri dan NGO (badan bukan kerajaan), UKM akan terus memperkukuh peranannya sebagai universiti yang prihatin, berdaya tahan dan meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan utama,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509388