JENAYAH & MAHKAMAH

Menteri Pertahanan Sempurnakan Pemakaian Pangkat PTD Ke-31

06/01/2026 11:39 AM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31 Jen Datuk Azhan Md Othman di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan latar belakang kepimpinan serta pengalaman luas Azhan diyakini mampu memastikan kesinambungan kepimpinan Tentera Darat Malaysia selain memperkukuh tahap kesiapsiagaan pasukan sebagai teras utama pertahanan negara.

“Aspek integriti, tadbir urus yang telus serta pembudayaan nilai ketenteraan yang luhur akan terus diperkukuh sebagai teras kepimpinan beliau selari dengan pelaksanaan inisiatif strategik Angkatan Masa Hadapan - Strategi Domain Daratan (AMH-SD2) yang mendokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan.

“Selain itu, agenda kesejahteraan anggota dan keluarga Tentera Darat akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warga pasukan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, PTD ke-31 dengan penuh hormat takzim menyembah ucapan menjunjung setinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan diberikan terhadap beliau.

“Justeru, PTD ke-31 menyeru seluruh warga Tentera Darat Malaysia menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan prestasi agar Tentera Darat terus mara sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan dan diyakini rakyat,” menurut kenyataan itu.

Azhan dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Jan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Ke-631 pada 19 Nov dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda pada 1 Dis.

Beliau yang dilahirkan di Muar, Johor pada 4 Sept 1969 memulakan kerjaya ketenteraan selepas mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 1987 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989.

Sepanjang perkhidmatan, beliau memegang pelbagai jawatan penting pada peringkat Tentera Darat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sekali gus membentuk kepimpinan serta profesionalisme ketenteraan yang kukuh.

Kewibawaan beliau terserlah melalui pelantikan sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Komander Batalion Siap Sedia Tentera Darat, Komander MALBATT 850-6 dan Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509233