EKONOMI

BNM lantik Semula Seorang Ahli Luar MPC, Tiga Ahli Majlis Penasihat Syariah

31/12/2025 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan semula Nor Zahidi Alias sebagai ahli luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Bank pusat berkata Nor Zahidi  merupakan ahli luar MPC sejak 1 Januari 2021.

Sebelum ini beliau pernah menjawat jawatan sebagai ketua ahli ekonomi di Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC); penganalisis kanan di The New Straits Times Press (M) Berhad;  ahli ekonomi di Kuala Lumpur City Securities; ketua penyelidikan dan ketua ahli ekonomi di Alliance Merchant Bank dan ketua penyelidikan di MCIS Zurich Insurance.

Nor Zahidi merupakan pemegang ijazah Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi serta Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Boston University.

Ahli-ahli MPC terdiri daripada Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, Timbalan Gabenor Datuk Marzunisham Omar, Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Timbalan Gabenor Aznan Abdul Aziz, Penolong Gabenor Dr Norhana Endut, Penolong Gabenor Fraziali Ismail, Penolong Gabenor Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid, ahli luar Nor Zahidi Alias, ahli luar Lim Chee Sing dan ahli luar Datuk Yogeesvaran Kumaraguru.

Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA 2009), MPC bertanggungjawab merumuskan dasar monetari serta menetapkan dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari. CBA 2009 juga memberikan peruntukan kepada pelantikan ahli luar MPC.

Sementara itu, BNM juga mengumumkan pelantikan semula tiga ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS). Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Tiga ahli majlis itu ialah Datuk Prof Dr Ashraf Md Hashim, profesor Universiti INCEIF, profesor kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali, dan perunding Syariah bebas Burhanuddin Lukman, berkuat kuasa 1 Jan, 2026 sehingga 31 Dis 2028.

Pada masa ini, ahli lain sedia ada ialah Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, timbalan presiden penyelidikan Institut ISRA Universiti INCEIF Dr Marjan Muhammad, ketua pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad Dr Ahmad Basri Ibrahim, pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF Prof Dr Amir Shaharuddin dan ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Dr Abdul Rahim Abdul Rahman.

BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Prof Dr Mohamad Akram Laldin yang menyempurnakan tempoh perkhidmatannya sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2025. Mohamad Akram dilantik sebagai ahli MPS sejak 1 November, 2008.

“MPS memberikan sumbangan yang besar kepada aspirasi Malaysia dalam kewangan Islam. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Mohamad Akram memberikan sumbangan yang amat bernilai kepada MPS. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen dan dedikasi beliau yang tidak berbelah bahagi,” kata Abdul Rasheed.

MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507734