AM

Jangan Perkecil Perpaduan Dalam Kerajaan MADANI - PM Anwar

05/01/2026 05:10 PM

PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh perpaduan nasional, melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh, serta memerangi rasuah tanpa kompromi, sebagai teras memastikan Malaysia muncul sebagai negara hebat dan stabil di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keamanan dan kestabilan negara yang dikecapi hari ini adalah hasil langsung daripada kerjasama padu semua rakan dalam Kerajaan Perpaduan, sekali gus membuktikan bahawa kekuatan sebenar negara terletak pada kesatuan pasukan dan kepimpinan yang jelas hala tujunya. 

“Jangan perkecil atau remehkan keperluan untuk bersatu, bermuafakat dengan kukuh dan stabil. Kita boleh mencapai perkara menakjubkan, kerana kita bekerja sebagai satu pasukan yang padu; kita mampu melaksanakan tindakan yang luar biasa dan memberi impak besar,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata keyakinan terhadap keupayaan rakyat, kekuatan penjawat awam sebagai tunjang pelaksanaan dasar, serta iltizam kepimpinan kerajaan membolehkan negara mencatat kemajuan signifikan dalam tiga tahun lalu, dan berada di landasan tepat untuk melonjak lebih jauh.

“Saya yakin, insya-Allah, dalam satu atau dua tahun ini, Malaysia akan terus terangkat sebagai negara hebat di rantau kita,” katanya.

Anwar turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpesong oleh polemik atau sentimen sempit, terutamanya isu kaum dan agama, yang boleh menghakis kekuatan asas negara.

Katanya, Malaysia adalah negara majoriti Melayu dan Islam, tetapi tetap sebuah negara majmuk berbilang kaum dan agama, iaitu realiti yang telah lama menjadi asas pembinaan negara.

“Kemajmukan ini bukan sesuatu yang baharu. Jangan terpengaruh dengan retorik atau tekanan berasaskan sentimen kaum dan agama sehingga mengalih pandangan daripada teras kekuatan dan hala tuju negara,” katanya.

Dalam hal itu, Perdana Menteri turut menolak dakwaan kononnya Islam terpinggir di negara ini, sambil menegaskan Islam kekal sebagai agama Persekutuan dan terus diangkat selaras Perlembagaan. 

"Semua tahu bahawa Islam itu agama Persekutuan dan negara terikat Perlembagaan. Namun, prinsip Melayu, bumiputera, bahasa dan budaya tidak wajar membuat mana-mana rakyat berasa terpinggir,” tegas beliau.

Beliau menekankan kepentingan kekuatan dalaman, kefahaman dan pemikiran matang supaya negara tidak mudah terpesong oleh retorik memecah-belahkan.

Dalam ucapannya, Anwar mengulangi gesaan agar tindakan tegas diambil untuk membanteras rasuah dan kebejatan pentadbiran, melibatkan ahli politik, penjawat awam, anggota tentera dan pasukan keselamatan tanpa pengecualian.

“Semasa kita berkuasa, itulah masanya untuk membersihkan negara ini daripada budaya busuk rasuah. Bukan berleter selepas hilang kuasa,” katanya sambil menegaskan sokongan penuh kerajaan kepada badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi berkaitan.

Beliau juga mengingatkan agar setiap tindakan tegas mematuhi kedaulatan undang-undang dan prosedur ditetapkan.

Mengenai reformasi institusi, Anwar berkata beberapa rang undang-undang penting akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, termasuk RUU Pemisahan Kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Kerajaan turut bercadang mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan tertinggi, termasuk Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh bagi memberi ruang kepada pembaharuan kepimpinan.

Turut akan dibentangkan ialah RUU Ombudsman, yang berfungsi sebagai institusi semak dan imbang bagi membolehkan rakyat mengemukakan aduan terhadap mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri. Selain itu, RUU Kebebasan Maklumat (FOI) juga akan diperkenalkan, dengan jaminan pengecualian sewajarnya melibatkan aspek keselamatan negara dan risikan.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menumpukan perhatian kepada pendidikan, bantuan sosial serta sokongan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi memastikan kesejahteraan rakyat secara lebih menyeluruh pada tahun 2026.

Bagi memastikan pendidikan yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat, beliau mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan sekolah agama rakyat dan Maahad Tahfiz. Selain itu, peruntukan turut disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Dalam aspek bantuan sosial, Anwar mengumumkan pembayaran bulanan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM200 yang akan dikreditkan secara berperingkat bermula 9 Jan, manakala pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa pertama akan dibuat mulai 20 Jan ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan SARA untuk Semua sebanyak RM100 secara sekali bayar yang akan disalurkan pada 9 Feb kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas, bersempena persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Program Jualan Rahmah MADANI pula akan bermula 9 Jan bagi menstabilkan harga barangan asas, dengan lebih 23,000 jualan dirancang di 600 daerah dan 40 lokasi di Wilayah Persekutuan. Jualan Agro MADANI juga ditawarkan dengan harga sehingga 30 peratus lebih rendah.

Selain itu, Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan harga barangan asas serta bahan binaan seperti besi, keluli dan simen kekal stabil bagi mengekalkan kos sara hidup serta menyokong pembangunan, termasuk projek rumah mampu milik dan kos rendah.

Beliau berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.2 bilion setahun bagi menstabilkan harga ayam, dan penarikan balik subsidi sejak 2023 tidak menyebabkan kenaikan harga.

Kerajaan juga akan mempertimbangkan kelonggaran syarat import sekiranya terdapat sumber yang lebih murah, bagi mengekalkan harga rendah untuk pengguna dan sektor pembinaan.

Anwar menegaskan bahawa semua langkah kerajaan bertujuan menjaga kesejahteraan rakyat, sambil menyeru semua pihak agar bekerja dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas demi kemajuan serta keberkatan negara.

“Insya-Allah, pada tahun ini kita akan terus mencatat kemajuan yang lebih baik, dengan syarat kita kekal menjamin keamanan negara, membina keutuhan dan kesatuan, serta bekerja dengan penuh komitmen,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508893