DUNIA

Pesawat Bawa Maduro Dari Venezuela Mendarat Di New York Susulan Operasi AS Di Caracas

04/01/2026 01:57 PM

WASHINGTON, 4 Jan (Bernama-Anadolu) -- Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan Wanita Pertama Cilia Flores, dibawa keluar dari sebuah pesawat di New York pada Sabtu selepas dipindahkan secara paksa ke Amerika Syarikat (AS) susulan operasi lewat malam oleh AS di Caracas, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Menurut laporan media AS, Maduro dan Flores dijangka dipindahkan dengan helikopter ke sebuah penjara yang terletak di luar Bandar Raya New York.

Rakaman yang disiarkan oleh media AS menunjukkan Maduro dikelilingi pegawai penguat kuasa undang-undang ketika diiring keluar dari pesawat di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Stewart, manakala Flores tidak kelihatan dengan jelas.

Pasukan AS menahan dan menerbangkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro bersama isterinya pada awal Sabtu dalam satu operasi dramatik yang dijalankan pada waktu malam, menurut pengumuman Presiden Donald Trump, yang menyatakan bahawa AS akan mentadbir Venezuela sehingga satu “peralihan yang selamat, wajar dan berhemah” dapat dilaksanakan.

Pengkritik memberi amaran bahawa operasi itu melanggar undang-undang antarabangsa, membelakangkan Kongres serta berisiko mencetuskan ketidakstabilan lanjut di seluruh Venezuela dan rantau berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508628