ALOR SETAR, 4 Jan (Bernama) -- Polis menafikan berlaku rompakan membabitkan seorang lelaki di sebuah masjid di daerah Kota Setar, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata semakan mendapati tiada laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan setakat ini.
"Polis daerah Kota Setar ingin menegaskan kejadian seperti yang dipaparkan dalam video tular tersebut tidak berlaku di daerah Kota Setar termasuklah di kawasan Kuala Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan ketenteraman awam.
Sebelum ini, polis mengesan satu video tular di laman Facebook bertajuk ‘Kes Rompakan Di Masjid Kola Kedah’, berdurasi kira-kira 20 saat memaparkan seorang lelaki (suspek) dipukul beberapa indvidu dan didakwa berlaku di Masjid Kuala Kedah dekat sini.
-- BERNAMA