PASARAN

Ringgit Dijangka Teruskan Aliran Meningkat Minggu Depan Didorong Asas Ekonomi Kukuh

03/01/2026 10:15 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar AS minggu depan, disokong oleh perbezaan kadar faedah yang menguntungkan serta asas ekonomi domestik yang kukuh.

Meskipun ia ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada 4.0515/0560 berbanding 4.0470/0535 Jumaat lepas, prospek kekal positif, dengan mata wang tempatan itu dijangka menghampiri 3.95 menjelang akhir tahun.

MBSB Investment Bank Bhd (IB) dalam satu nota penyelidikan berkata ringgit dijangka berada pada paras purata sekitar 4.00 berbanding dolar AS tahun ini.

Bank itu menjangkakan mata wang tempatan akan disokong oleh anggaran bahawa perbezaan kadar faedah antara kadar dasar semalaman (OPR) dan kadar dana Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan terus mengecil sepanjang tahun.

“Bagaimanapun, kadar pengukuhan ringgit pada 2026 akan kekal sensitif terhadap trajektori dasar Rizab Persekutuan AS. Inflasi AS yang berterusan serta risiko geopolitik global berpotensi melambatkan penurunan kadar faedah AS, yang menjadi faktor utama mengehadkan kekuatan ringgit dalam jangka pendek,” katanya.

Ia berkata trajektori positif ini disokong oleh asas domestik yang mantap.

“Daya tahan ringgit disokong oleh kestabilan dasar monetari negara, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, berbeza dengan bank pusat lain yang mengambil pendekatan mengurangkan kadar faedah dan baru-baru ini melonggarkan kadar faedah untuk merangsang pertumbuhan,” kata MBSB IB.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menekankan prestasi cemerlang ringgit pada 2025, dengan mata wang tempatan itu menutup tahun pada paras lebih tinggi serta menjadi antara mata wang terbaik di Asia.

“Pada 2026, ekonomi Malaysia akan berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menghadapi cabaran luaran. Ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan berterusan ringgit berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5817/5848 daripada 2.5866/5909 minggu sebelumnya, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4509/4569 daripada 5.4570/4657, dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7488/7540 daripada 4.7629/7706 sebelumnya.

Bagaimanapun, berbanding rakan ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8996/9201 daripada 13.0212/0484 seminggu lepas, naik berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.89 daripada 6.89/6.90, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1502/1540 daripada 3.1497/1550, dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 242.2/242.6 daripada 241.6/242.2 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508356