KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Ringgit meningkat semula dari hari terakhir 2025 untuk ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada hari dagangan pertama 2026, disokong oleh sentimen positif hasil pengumuman data ekonomi domestik yang memberangsangkan.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.0515/0560 berbanding dolar AS daripada 4.0580/0620 ketika ditutup Rabu.
Pasaran ditutup pada hari Khamis sempena cuti umum Tahun Baharu.
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berkata pengukuhan ringgit disokong oleh data ekonomi domestik terkini yang menunjukkan pengeluaran industri dan pedagangan pengedaran lebih kukuh daripada jangkaan dan prestasi perdagangan yang berdaya tahan.
“Pada masa hadapan, kami menjangkakan ringgit akan terus berada dalam trend pengukuhan pada 2026,” kata MBSB IB dalam nota penyelidikannya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata mata wang tempatan turut disokong oleh dolar AS yang lebih lemah berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah AS yang lebih banyak pada tahun ini.
"Susulan pemotongan kadar faedah AS sebelum ini, dana asing mungkin akan meninjau Malaysia untuk belian semasa harga rendah. Persekitaran ringgit yang cenderung mengukuh dijangka membentuk hala tuju pasaran," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5817/5848 daripada 2.5907/5934 pada Rabu, naik berbanding pound Britain kepada 5.4509/4569 daripada 5.4531/4585 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7488/7540 daripada 4.7617/7664 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1502/1540 daripada 3.1550/1584 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 242.2/242.6 daripada 243.2/243.6.
Mata wang tempatan itu susut berbanding baht Thailand kepada 12.8996/9201 daripada 12.8560/8756 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.88/6.89 daripada 6.88/6.90 sebelumnya.
-- BERNAMA