JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lagi Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Di Sg Bakap

02/01/2026 06:54 PM

NIBONG TEBAL, 2 Jan (Bernama) -- Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut dan dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan objek tajam di sebuah restoran di Sungai Bakap di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata dua lelaki berusia 30-an itu ditahan secara berasingan di sekitar sini awal pagi tadi dan direman tujuh hari.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu menjadikan kesemuanya empat lelaki ditahan.

"Berdasarkan siasatan awal, kesemua empat lelaki yang ditahan itu kenal antara satu sama lain dan polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata semasa kejadian mangsa sedang minum bersama di restoran berkenaan sebelum diserang lebih 15 lelaki.

Azizee berkata ketiga-tiga mangsa merupakan peniaga dan seorang yang dilaporkan kritikal sebelum ini, kini dalam keadaan stabil.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan tidak menolak kemungkinan berkaitan hutang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum ini menahan dua suspek beberapa jam selepas insiden yang berlaku pada 4.30 petang itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508252