KANGAR, 2 Jan (Bernama) -- Kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis meningkat kepada RM29.955 juta tahun lepas berbanding RM27.312 juta pada 2024.
Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi berkata kutipan itu melibatkan pelbagai urus niaga antaranya hasil penguatkuasaan, pelesenan kenderaan dan pelesenan pemandu.
"Satu daripada penyumbang kepada peningkatan hasil pada tahun 2025 adalah pelaksanaan Tawaran Bayaran Kadar Kompaun Khas (Flat Rate) yang bermula pada 3 Jan sehingga 30 Jun 2025 bagi tiga jenis kategori saman dan dari 1 Nov sehingga 30 Dis 2025 bagi semua kategori notis saman JPJ dengan diskaun sebanyak 50 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noraini berkata hasil daripada tindakan penguatkuasaan tahun lepas, JPJ Perlis turut menyita 106 kenderaan termasuk 21 kenderaan dilucut hak di mahkamah dan 31 dilelong.
-- BERNAMA