JENAYAH & MAHKAMAH

Temu Duga Di OSC Pengurusan Pekerja Asing Ditangguh Hingga 19 Jan

02/01/2026 08:23 PM

PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Semua urusan yang melibatkan temu duga di Pusat Sehenti (OSC) Pengurusan Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditangguhkan hingga 19 Jan ini bagi tujuan penyelarasan dan penambahbaikan perkhidmatan kaunter.

Menurut KDN menerusi makluman di media sosial ia melibatkan temu duga selepas kelulusan Seksyen 60K Akta Pekerja 1955, permohonan kuota serta pertukaran majikan.

"Urusan lain yang tidak melibatkan sesi temu duga akan dijalankan seperti kebiasaaan mulai Isnin ini (5 Jan)," menurut makluman itu.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada KDN melalui e-mel melosc_kdn@moha.gov.my.

Sebelum ini, KDN memaklumkan tempoh khas bagi menerima permohonan kuota penggajian pekerja asing untuk 2025 akan dibuka bermula 19 Jan hingga 31 Mac ini.

Tempoh khas berkenaan melibatkan permohonan bagi semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan kerajaan pada 1 Okt lepas, serta mematuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan termasuk permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508285