BACHOK, 2 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan mendapatkan data terkini berhubung isu 36 jemaah umrah Malaysia yang dilaporkan terkandas di Arab Saudi dan merayu untuk pulang ke tanah air.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata perkara itu perlu diteliti dengan rapi sebelum sebarang tindakan diambil.
"Kita kena betul-betul teliti secara keseluruhan kerana ia melibatkan pelbagai perkara dan aspek," katanya kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis di sini, hari ini.
Hari ini, media tempatan melaporkan seramai 36 jemaah umrah Malaysia di Madinah yang masih belum mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, mendesak agensi terlibat supaya menyegerakan urusan itu.
-- BERNAMA