PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung yang runtuh di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan, semalam.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan arahan itu adalah bagi menjamin keselamatan dan kemudahan rakyat.
“Kerja-kerja penggantian jambatan ini akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat,” menurut kenyataan itu.
PMO memaklumkan Anwar memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.
“Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah,” katanya.
Semalam, media melaporkan suasana meriah majlis perkahwinan sepasang pengantin bertukar cemas apabila titi gantung yang dilalui tetamu mereka tiba-tiba runtuh menyebabkan lebih 50 orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.
-- BERNAMA