DUNIA

AS Keluarkan Keputusan Awal Tarif Antilambakan Ke Atas Bahan Kimia Korea Selatan

02/01/2026 03:25 PM

SEOUL, 2 Jan (Bernama-Yonhap) -- Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) telah mencapai keputusan awal untuk mengenakan tarif antilambakan sehingga 65.72 peratus ke atas bahan kimia tertentu dari Korea Selatan, menurut kementerian industri negara itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pada Rabu (waktu AS), jabatan berkenaan mengumumkan penentuan afirmatif awal untuk mengenakan duti antilambakan antara 10.94 peratus hingga 65.72 peratus ke atas dua syarikat Korea yang mengeksport monomer dan oligomer ke Amerika Syarikat, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Keputusan itu dibuat kira-kira enam bulan selepas Washington memulakan siasatan lambakan terhadap monomer dan oligomer tertentu dari Korea Selatan dan Taiwan susulan aduan sebuah syarikat kimia AS.

Kementerian itu memaklumkan bahawa kadar awal berkenaan menunjukkan pengurangan ketara berbanding margin lambakan antara 137 peratus hingga 188 peratus yang didakwa sebelum ini oleh pihak pemohon.

Menurut kementerian berkenaan, pihaknya akan terus berhubung rapat dengan syarikat terbabit bagi memastikan mereka tidak dikenakan layanan tidak adil dalam keputusan muktamad Jabatan Perdagangan AS yang dijadualkan pada Mei.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2508145