EKONOMI

Malaysia Laksana Fasa Keempat E-invois, Perkasa Sistem Cukai, Ringan Beban Pematuhan PKS

01/01/2026 11:03 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Malaysia memulakan fasa keempat pelaksanaan invois elektronik (e-invois) hari ini, menandakan satu lagi usaha kerajaan bagi memperkukuhkan pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Diperkenalkan sebagai platform digital bagi memperkemaskan urusan invois dan pematuhan cukai, e-invois memerlukan perniagaan (pembayar cukai) menjana dan menghantar invois secara elektronik, bagi meningkatkan pelaporan dan kecekapan kutipan cukai sambil mengurangkan kebocoran. 

Sebelum ini, kerajaan merancang untuk melaksanakan fasa kelima pada 1 Julai 2026, iaitu bagi perniagaan dengan perolehan tahunan sehingga RM1 juta, dengan mereka yang berpendapatan kurang daripada RM500,000 setahun dikecualikan. 

Bagaimanapun, pada 6 Dis, 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa ambang pengecualian akan dinaikkan kepada RM1 juta daripada RM500,000, bermakna firma atau syarikat dengan pendapatan tahunan di bawah RM1 juta tidak akan dikehendaki mematuhi e-invois bermula tahun 2026. 

Sementara itu, pelaksanaan e-invois bermula pada 1 Ogos, 2024, dan pada awalnya hanya melibatkan syarikat yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Setakat 4 Nov, 2025, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan lebih 106,000 pembayar cukai berdaftar dan transaksi melebihi RM675 juta menerusi sistem e-invois, sekali gus mencerminkan peningkatan penggunaan di seluruh ekosistem perniagaan.  

Dalam pada itu, perniagaan dengan transaksi melebihi RM10,000, serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan elektrik, dikehendaki untuk mengeluarkan e-invois individu dan bukannya invois gabungan bermula 1 Jan, 2026.  

Ketika ini, tujuh industri dikehendaki mengeluarkan e-invois individu iaitu automotif (jualan kenderaan bermotor), penerbangan (tiket penerbangan dan carter persendirian), produk emas dan barangan mewah, pembinaan, borong dan runcit bahan binaan, aktiviti pertaruhan dan perjudian berlesen, serta pembayaran kepada ejen atau pengedar. 

 

Meringankan Beban PKS, Ruang bagi Pengembangan 

Secara ringkasnya, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Dr Carmelo Ferlito menyatakan bahawa pengecualian bagi syarikat dengan pendapatan tahunan di bawah RM1 juta daripada melaksanakan e-invois akan mengurangkan beban pentadbiran terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membolehkan mereka memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan teras mereka. 

Beliau berkata pengecualian itu memberi PKS lebih masa dan sumber untuk memberi tumpuan kepada perniagaan berbanding melakukan pematuhan pentadbiran yang meragukan, sekali gus membolehkan mereka menumpukan kepada strategi dan pertumbuhan sebelum menerima pakai alat cukai digital. 

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Perusahaan Mikro Malaysia Abd Azharee Abdul Wahid pula berkata langkah itu dijangka meningkatkan daya saing usahawan dalam memajukan perniagaan mereka, sekali gus membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada pembangunan perniagaan, produk dan perkhidmatan mereka. 

Katanya, usahawan juga boleh mengukuhkan perniagaan dalam beberapa bidang seperti pemasaran, mengembangkan rangkaian serta meneroka peluang di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ia memberi kita ruang untuk bernafas kerana dalam situasi ekonomi yang mencabar ini, kita masih mempunyai peluang untuk menstruktur semula strategi, terutama pada 2026,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Datuk William Ng sebelum ini berkata pendekatan berperingkat itu akhirnya akan memberi manfaat kepada PKS kerana ia mewujudkan peluang untuk pelaburan semula dan pengembangan sebaik sahaja sistem itu dilaksanakan sepenuhnya. 

Beliau berkata persatuan itu juga tidak menyokong gesaan bagi pengecualian atau penangguhan selanjutnya pelaksanaan e-invois terhadap PKS, kerana kelewatan tidak semestinya meningkatkan kesediaan. 

Ng menjelaskan penangguhan pelaksanaan sama ada selama enam bulan, setahun atau selama dua tahun tidak akan menjadikan perniagaan tersebut bersedia. 

Sebelum ini, Anwar berkata e-invois akan dilaksanakan secara menyeluruh pada 2026, di samping sistem penilaian kendiri bagi duti setem, bertujuan memperkukuhkan lagi pematuhan cukai, manakala bayaran balik cukai juga akan dipercepatkan. 

Perdana Menteri yang sebelum ini menyatakan keyakinannya terhadap prestasi LHDN berkata langkah memperkenalkan sistem baharu seperti e-invois itu, telah meningkatkan kecekapan dan disiplin, sekali gus menyumbang kepada kutipan hasil yang lebih kukuh. 

Kutipan cukai pada 2026 diunjurkan meningkat, dengan cukai langsung dianggarkan sebanyak RM187.4 bilion dan cukai tidak langsung sebanyak RM83 bilion, disokong oleh pendekatan yang disasarkan, permintaan domestik yang mampan, dan kematangan sistem e-invois secara beransur-ansur.  

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507849