DUNIA

Badan Pengawas Keselamatan Nuklear Korea Selatan Luluskan Operasi Reaktor Saeul-3

30/12/2025 08:26 PM

SEOUL, 30 Dis (Bernama-Yonhap) -- Badan pengawas keselamatan nuklear Korea Selatan pada Selasa meluluskan operasi reaktor Saeul-3, dengan pelancarannya secara komersial dijadualkan tahun depan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Suruhanjaya Keselamatan Nuklear membuat keputusan itu selepas mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan kelulusan operasi reaktor Saeul-3, sebuah reaktor APR1400 buatan tempatan yang terletak di Kompleks Tenaga Nuklear Saeul di bandar pelabuhan tenggara Ulsan.

Keputusan itu dibuat kira-kira dua minggu selepas suruhanjaya berkenaan menangguhkan keputusan muktamadnya pada mesyuarat awal.

Susulan kelulusan tersebut, unit berkenaan, yang pembinaannya bermula pada 2016, akan menjalani operasi percubaan selama enam bulan akan datang.

Saeul-3 merupakan reaktor nuklear pertama Korea Selatan yang direka untuk menahan serangan pesawat, dengan dinding setebal 137 sentimeter, iaitu 15 sentimeter lebih tebal berbanding reaktor terdahulu.

Reaktor itu turut mempunyai kapasiti penyimpanan bahan api nuklear terpakai sehingga 60 tahun, mencukupi untuk menyimpan keseluruhan jumlah bahan api yang dihasilkan sepanjang tempoh hayat reka bentuknya.

Unit tersebut sebelum ini dikenali sebagai Kori-5 sebelum dinamakan semula sebagai Saeul-3 pada 2022.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507447