JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja Bawah Umur Antara Didakwa Terlibat Seludup Lima Migran

30/12/2025 04:00 PM

BUTTERWORTH, 30 Dis (Bernama) -- Dua wanita tempatan termasuk seorang remaja bawah umur serta seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersama-sama menjalankan aktiviti penyeludupan migran pada awal bulan ini.

Tertuduh, Umi Kalsom Abidin, 29, dan remaja perempuan berusia 17 tahun berkenaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Tiada pertuduhan dibacakan terhadap lelaki warga asing, Kyaw Zin Lin, 19, kerana memerlukan khidmat jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas dengan niat bersama didakwa menjalankan aktiviti penyeludupan migran melibatkan lima warga Myanmar di tempat letak kereta berhadapan sebuah sekolah di Bukit Mertajam, pada 6.40 petang, 2 Dis lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa Myanmar. 

Lelaki Myanmar itu diwakili peguam K. Puvirajan manakala Umi Kalsom dan remaja berkenaan tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Jan ini untuk sebutan semula kes dan kehadiran jurubahasa Myanmar.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507229