JASIN, 29 Dis (Bernama) -- Seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal mereka melanggar seekor lembu yang sedang melintas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ), Serkam, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan itu kira-kira 11 malam dan mendapati ia membabitkan dua penunggang motosikal lelaki, masing-masing berusia 25 tahun, dari arah Merlimau ke Jasin.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang melalui jalan berkenaan apabila seekor lembu tiba-tiba melintas dari kanan ke kiri jalan, menyebabkan mereka tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut dan terbabas ke lorong kiri jalan.
"Ekoran kemalangan itu, seorang penunggang cedera parah di badan dan tangan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp Wan Nuralia Asyikin Wan Ibrahim di talian 011-6464 8182 atau Kaunter Aduan Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di 06-529 2222 sambungan 260.
-- BERNAMA