AM

Lebih 20,000 Hadir Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas Ke-60

28/12/2025 01:27 PM

MELAKA, 28 Dis (Bernama) -- Lebih 20,000 pengunjung hadir Hari Keluarga Gabungan sempena Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas ke-60 Fasa 2 2025 di Klebang di sini sejak semalam.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jumlah itu mencerminkan sambutan luar biasa serta minat tinggi rakyat terhadap pasukan keselamatan negara.

“Lebih menarik, orang awam turut diberi peluang menyertai sembilan acara interaktif yang membolehkan mereka mendekati dan merasai sendiri pengalaman bersama-sama pasukan keselamatan negara.

“Saya yakin keseluruhan pengisian sambutan menjadi medium berkesan menyuburkan semangat patriotisme dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap pasukan yang menjadi benteng pertahanan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan itu di sini hari ini.

Hadir sama Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mej Jen Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.

Ab Rauf berkata sambutan yang melibatkan pengisian seperti aktiviti santai seisi keluarga, pameran pasukan elit, demonstrasi ketangkasan, kemahiran tempur khas Rejimen Gerak Khas dan pameran 28 Aset Tentera Darat juga melakar sejarah apabila disambut di luar kem tentera buat kali pertama.

Beliau berkata penganjuran Hari Keluarga Gabungan itu juga menjadi wadah penting untuk menghargai institusi keluarga yang selama ini menjadi tiang seri kepada kekuatan, ketahanan dan kejayaan luar biasa pasukan itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506696