KUALA TERENGGANU, 28 Dis (Bernama) -- Banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin pulih apabila jumlah mangsa menurun kepada 138 orang daripada 35 keluarga setakat 9 pagi ini berbanding 419 orang daripada 107 keluarga pada petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan 78 orang daripada 20 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Mengabang Telipot.
Sebanyak 60 orang daripada 15 keluarga pula berlindung di PPS SK Chendering di sini sejak 26 Dis susulan hujan lebat dan air pasang besar.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan menyeluruh di semua kawasan seluruh Terengganu hari ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran Negara pada 26 Dis meramalkan banjir di lima daerah, iaitu Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu dan Dungun hingga 30 Dis ini.
Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah jika diarahkan.
-- BERNAMA