AM

Ramalan Awal Banjir : Beberapa Jajahan Di Kelantan Dijangka Terkesan Mulai Hari Ini

26/12/2025 03:44 PM

KOTA BHARU, 26 Dis (Bernama) -- Beberapa jajahan di Kelantan diramalkan mengalami banjir bermula hari ini hingga 30 Dis susulan amaran hujan berterusan (bahaya) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara jajahan yang dijangka terkesan ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang melibatkan lembangan sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Semerak.

"Ramalan banjir itu adalah tertakluk kepada keadaan hujan semasa dan kejadian banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dijangkakan," menurut PRABN.

Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk khususnya di kawasan yang dikenal pasti diminta berwaspada, peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko keselamatan.

JPS turut memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan dan hebahan amaran banjir akan dikemas kini dari semasa ke semasa sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai terlibat.

PRABN memaklumkan maklumat terkini dan amaran banjir boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi Public Info Banjir di publicinfobanjir.water.gov.my serta platform media sosial berkaitan.

Hari ini, Bernama melaporkan MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Kelantan dan Terengganu hingga 29 Dis (Isnin).

MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh.

Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506329