TOKYO, 25 Dis (Bernama-Kyodo) -- Agensi kerajaan Jepun yang menyelia dasar berkaitan kanak-kanak pada Khamis mengumumkan pengenalan tanda pensijilan baharu bagi entiti yang menyertai program “Japanese DBS” untuk menyemak rekod kesalahan seksual individu yang bekerja dengan kanak-kanak, lapor Kyodo News.
Reka bentuk tanda itu menampilkan seekor burung hantu dengan perkataan “Komamoro” tertera di atasnya, berdasarkan permainan kata yang menggabungkan “fukuro”, istilah bahasa Jepun bagi burung berkenaan, dengan frasa “ko wo mamoro” yang bermaksud “melindungi kanak-kanak”, menurut agensi itu.
Di bawah program yang dijadualkan bermula pada 25 Dis 2026, dua tanda pensijilan akan diperkenalkan - satu bagi pengendali yang ditetapkan seperti sekolah dan pusat asuhan kanak-kanak yang diwajibkan menyemak rekod kesalahan seksual serta memastikan keselamatan, dan satu lagi bagi perniagaan swasta.
Pihak berkuasa menjangkakan tanda berkenaan akan digunakan dalam risalah, di laman sesawang, di premis serta dalam iklan jawatan kosong bagi sekolah, pusat asuhan kanak-kanak dan perkhidmatan berkaitan di seluruh negara.
Penyertaan dalam program itu oleh pengendali swasta adalah secara sukarela.
Menurut Agensi Kanak-Kanak dan Keluarga, program DBS gaya Jepun itu dinamakan sempena Disclosure and Barring Service di Britain.
-- BERNAMA-KYODO