JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Perang Zon Utara: JPJ Kedah Keluar 4,513 Saman, Periksa 13,902 Kenderaan Perdagangan

22/12/2025 07:43 PM

BALING, 22 Dis (Bernama) -- Sebanyak 4,513 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hasil pemeriksaan terhadap 13,902 kenderaan perdagangan menerusi OPS Perang Zon Utara 2025 sejak Oktober lepas.

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata operasi yang diteruskan sehingga 31 Dis ini dilaksanakan sebagai operasi bersepadu berskala nasional bagi menangani isu ketidakpatuhan undang-undang jalan raya, khususnya melibatkan kesalahan muatan berlebihan kenderaan perdagangan.

Beliau berkata operasi itu satu bentuk pengisytiharan perang terhadap sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan yang terus mengingkari peraturan sehingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya serta merosakkan infrastruktur awam.

“OPS Perang Zon Utara ini membabitkan kerjasama tiga negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis dengan penugasan berfasa. Ia bermula di Pulau Pinang dari 17 hingga 23 Nov, di Kedah dari 24 hingga 30 Nov serta operasi bersepadu Zon Utara pada 19 hingga 21 Dis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 60 anggota penguat kuasa terlibat dalam setiap fasa operasi di semua daerah, melibatkan rondaan bergerak dan operasi statik di lokasi strategik termasuk laluan logistik serta kawasan berisiko tinggi kesalahan lebih muatan.

Van Lutam berkata daripada jumlah saman yang dikeluarkan, sebanyak 45 saman membabitkan kesalahan lebih muatan direkodkan termasuk tiga saman bagi kes melebihi 50 peratus had yang dibenarkan.

Beliau berkata bagi kesalahan lebih muatan melebihi 50 peratus, tindakan pendakwaan akan diambil mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman berat termasuk pelucuthakan kenderaan oleh mahkamah, selain tindakan lanjut terhadap lesen dan permit pemandu serta pemilik.

“Sehingga kini, tiga kenderaan dilucut hak sepanjang operasi berkenaan, iaitu satu di Pulau Pinang dan dua di Kedah. Secara keseluruhan dari Jun hingga Disember tahun ini, sebanyak enam kenderaan telah dilucut hak di Kedah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik serta tidak memandu secara cuai atau melanggar peraturan jalan raya.

Van Lutam ketika mengulas mengenai kutipan saman di negeri berkenaan berkata jumlah keseluruhan kutipan sejak awal tahun hingga kini mencecah RM23,399,865, dengan RM20,049,665 daripada kompaun manakala RM3,350,200 melalui kes mahkamah.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2505336