PETALING JAYA, 22 Dis (Bernama) -- Selepas 23 tahun mewarnai industri muzik nasyid tempatan, UNIC mencipta detik penting dalam perjalanan seni mereka menerusi konsert solo penuh This Is UNIC: Live In Concert di Idea Live Arena, di sini kelmarin.
Dianggotai oleh trio Fakhrul Radhi, Bazli Hazwan dan Dr Fitri Haris, konsert itu menampilkan susunan muzik yang berbeza dengan aliran persembahan diatur secara naratif, tenang dan berlapik, selari dengan identiti UNIC yang menekankan penghayatan mesej.
pic-2
Pemilihan Hanyut sebagai lagu pembukaan menjadi antara kelainan utama konsert itu apabila karya yang diterbitkan pada 2015 tersebut dibawakan dengan susunan lebih segar dan minimum, menjadi pengenalan berkesan kepada keseluruhan persembahan.
Aliran konsert kemudian berkembang secara berperingkat menerusi lagu-lagu seperti Balqis, Remaja, Sebuah Pertemuan dan Jalinan yang membuka ruang penglibatan penonton sebelum persembahan bergerak ke segmen lebih reflektif.
pic-3
Konsert memasuki fasa penghayatan rohani menerusi lagu-lagu seperti Sifat Anak Soleh, Hakikat Bahagia dan Jom Solat, disertai elemen alunan zikir serta bacaan qunut nazilah secara berjemaah yang mengubah suasana dewan menjadi ruang ibadah berjemaah.
Segmen monolog yang mengangkat kisah hubungan ibu dan anak diikuti lagu Ibu membawa emosi penonton ke tahap mendalam sebelum suasana diseimbangkan semula melalui sketsa ringan serta lagu-lagu mesra audiens seperti Kawan & Teman, Seiring Sehaluan dan Hijrah.
pic-4
Menjelang penghujung konsert, UNIC mengekalkan momentum melalui lagu-lagu bertema cinta dan kemanusiaan termasuk Insan Bernama Kekasih, Hanya Tuhan Yang Tahu dan Mahligai Kekasih, sebelum turun dari pentas menyanyikan Ya Allah Lindungi Kami bersama-sama dengan penonton.
Sebagai penutup, Ainul Mardhiah dipilih untuk mengakhiri malam tersebut, melengkapkan konsert yang bukan sahaja mengimbau perjalanan lalu, malah membuka lembaran baharu buat UNIC dalam usaha mengangkat semula martabat muzik nasyid di pentas besar.
-- BERNAMA